Zakat Emas

Apa Itu Zakat Emas

Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.

Dalil Zakat Emas

Kewajipan menunaikan zakat emas telah disebutkan secara terang dan jelas dalam kitab suci al-Quran yang bermaksud:

Maksudnya: "Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu?"

Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:

Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipanaskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya?

Fatwa Zakat Emas

Fatwa Wilayah Persekutuan

Cadangan Fatwa Terhadap Kewajipan Membayar Zakat Emas Ke Atas Pelaburan Emas

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-87 pada 27 Ogos 2014 telah berbincang tentang Cadangan Fatwa Terhadap Kewajipan Membayar Zakat Emas Ke Atas Pelaburan Emas. Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan seperti berikut:

  1. Zakat wajib dikenakan terhadap emas pelaburan fizikal, emas akaun (passbook) dan emas maya (forex).
  2. Zakat emas pelaburan yang patuh syariah dikenakan bagi keseluruhan modal dan keuntungan dikategorikan sebagai zakat perniagaan.
  3. Mengadakan sesi penerangan dan penjelasan kepada semua pihak berkaitan emas pelaburan yang tidak patuh syariah.

Nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85 gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran (cukup syarat milik sempurna dan tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran).

Kiraan Zakat Emas

Emas Perhiasan Dipakai

Hukum asal sebarang bentuk pemakaian tidak diwajibkan zakat. Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Namun barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai. Apa yang berlebihan dengan adat dan kebiasaan adalah dilarang atau tidak digalakkan oleh syariah. 

Yusuf al-Qaradawi menyebut perhiasan wanita yang diperbuat selain emas dan perak, seperti mutiara, berlian dan batu berharga dikecualikan zakat, kerana ia dikhaskan untuk kegunaan peribadi dan tidak dianggap sebagai aset yang berkembang.

Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar uruf emas perhiasan sebanyak 800 gram. Justeru sebarang pemakaian yang berulang ataupun sekali dalam tempoh setahun melebihi 800 gram wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.

Jumlah Emas Dipakai900 gram
Uruf Emas Dipakai800 gram
Harga Emas Semasa (2024)RM254.42
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)RM5,724.00

Emas Yang Disimpan

Emas yang disimpan adalah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang benar-benar menjadi simpanan dan tidak digunakan sebagai perhiasan walaupun fizikalnya sama seperti emas perhiasan. Ianya termasuk barang kemas yang tidak dipakai kerana sudah rosak atau lama. Ianya juga termasuk barang perhiasan yang dimiliki oleh lelaki sungguhpun pemakaiannya haram disisi syarak. 

Jika jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 85 gram, serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau setahun (cukup haul), maka wajib dikeluarkan zakat keatasnya sebanyak 2.5 peratus (%). Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tiada wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama?

Jumlah Emas Disimpan200 gram
Uruf Emas Disimpan85 gram
Harga Emas Semasa (2024)RM254.42
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)RM1,272.10

Emas Pelaburan Patuh Syarak

Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;

  1. Pelaburan dalam emas fizikal dan
  2. Pelaburan dalam bentuk Akaun Simpanan Emas (Passbook)

Pelaburan Emas Fizikal

Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram. Contoh pengiraan:

Jumlah Emas Pelaburan 400 gram
Uruf Emas Pelaburan 85 gram
Harga Emas Semasa (2024) RM254.42
Kadar Zakat 2.5%
Jumlah Zakat (RM) RM2,544.20

Pelaburan Akaun Emas (Passbook)

Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.

Jumlah Emas Pelaburan300 gram
Uruf Emas Pelaburan85 gram
Harga Emas Semasa (2024)RM254.42
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)RM1,908.15

Emas Pelaburan Tidak Patuh Syarak

Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;

  1. Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal
  2. Pelaburan emas melalui alam maya

Pelaburan Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas

Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan.

Pelaburan Akaun Emas Maya

Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.

Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.

Jumlah Pelaburan Pokok / Baki TerendahRM40,000.00
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)RM1,000.00