Zakat KWSP

Apa Itu Zakat KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan. 

Di bawah akta KWSP, semua rakyat Malaysia yang bekerja diwajibkan untuk mencarum sebahagian pendapatannya didalam kumpulan wang ini. Caruman tersebut akan dikreditkan ke akaun individu ahli di KWSP. Amaun caruman terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Kadar caruman semasa adalah mengikut upah/gaji bulanan diterima.

Wang KWSP ini hanya boleh dikeluarkan sebahagiannya oleh pencarum apabila ia mencapai umur tertentu dalam tempoh perkhidmatannya atau mengambil keseluruhannya apabila ia telah mencapai umur pencen atau bersara. Ia juga boleh dikeluarkan atas pelbagai sebab lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP. 

Wang KWSP diwajibkan zakat (setelah memenuhi syarat-syaratnya) kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa, justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”. 

Namun syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP). Kewajipan zakat juga tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120.

Dalil Zakat KWSP

Caruman KWSP diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama’ sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Dalilnya seperti berikut:

Maksudnya: "Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu?"

Fatwa Zakat KWSP

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019M  Bersamaan 4 Rabiulawal 1441H (Jumaat) telah membincangkan dan membuat keputusan seperti berikut:

  • Bagi skim pengeluaran yang memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah dan tiada had pengeluaran seperti pengeluaran simpanan melebihi RM 1 juta, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, pengeluaran meninggalkan  negara, pengeluaran pekerja berpencen dan pesara pilihan, maka ZAKAT DIWAJIBKAN ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan KWSP dalam kategori ini yang tidak dikeluarkan selepas setahun (haul), adalah tertakluk kepada  hukum zakat simpanan berdasarkan baki wang simpanan yang telah genap setahun (haul) sekiranya mencapai nisab.

  • Bagi pengeluaran sebahagian di dalam akaun 2 apabila mencapai Umur 50 tahun, ZAKAT DIKENAKAN ke atas amaun yang dikeluarkan sahaja pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul.

  • Bagi ahli yang tidak membuat pengeluaran pada umur 50 tahun, maka apabila mencapai umur 51 tahun WAJIB dikenakan zakat ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi  syarat milk al-taam kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan di dalam akaun 2 yang tidak  dikeluarkan tidak perlu dizakatkan, kerana tidak memenuhi syarat milk  al-taam.

  • Bagi skim pengeluaran untuk tujuan hajah asliyah seperti pengeluaran perumahan, pengeluaran pendidikan, pengeluaran kesihatan dan pengeluaran hilang upaya kekal mesyuarat  memutuskan bahawa TIDAK DIKENAKAN zakat ke atas pengeluaran-pengeluaran tersebut.

Nisab dan Kadar Zakat KWSP

Nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85 gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran (cukup syarat milik sempurna dan tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran).

Kiraan Zakat KWSP

Jumlah Pengeluaran (RM)RM20,000.00
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)RM500.00

Nota

Mengikut jenis-jenis pengeluaran yang diwajibkan zakat. Rujuk Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 (di atas).