Zakat Galian

Secara asasnya perbahasan ini berkisar tentang ma’adin, kanz dan rikaz. Ma’adin dengan kata lain adalah bahan galian berharga, yang dengan sendirinya tersimpan di dalam bumi (hasil asli bumi). Manakala kanz adalah harta yang ditanam di dalam bumi oleh tangan manusia (harta karun). Istilah Rikaz pula mencakupi kedua-dua ma’adin dan kanz. Namun, umumnya setiap harta yang tertanam di dalam bumi dipanggil sebagai Rikaz.

Dalil Zakat Galian

Yusuf al-Qaradawi menyatakan harta yang tertanam termasuklah semua benda berharga yang ditinggalkan oleh manusia terdahulu di dalam tanah seperti emas, perak, tembaga, logam dan seakan dengannya. Para fuqaha’ telah menetapkan bahawa sesiapa yang terjumpa harta-harta ini diwajibkan untuk mengeluarkan zakat seperlima bahagian (20%), berdasarkan hadis yang berasal dari Abu Hurairah RA yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda: “...harta terpendam (rikaz) (bila ditemukan seseorang) zakatnya seperlima (20%).”

Abu Daud meriwayatkan dari Amru Ibnu Syu’aib dari bapanya dari datuknya bahawa:

“Rasulullah pernah ditanya tentang harta yang hilang dan dijumpai (luqatah), dan Baginda bersabda, ‘harta benda yang dijumpai dijalan umum atau di kawasan yang didiami orang ramai, hendaklah diberitakan kepada umum selama setahun. Sekiranya tuan empunya barang datang menuntut maka serahkan harta tersebut kepadanya, dan sekiranya tidak, ambillah sebagai milikmu. Tetapi harta yang dijumpai bukan pada jalan umum atau bukan di kawasan yang didiami orang, maka harta tersebut dikenakan bayaran, sebagaimana rikaz, iaitu seperlima bahagian (20%).’”

Nisab, Haul dan Kadar Zakat

Berikut adalah nisab, haul dan kadar zakat bagi Zakat Galian

1. Nisab

Nisab Zakat Galian juga sama seperti nisab emas (85g) dan perak (595g).

2. Haul

Para ulama sepakat bahawa tiada syarat haul (tidak perlu menunggu setahun) bagi zakat ini.

3. Kadar Zakat

Kadar Zakat Galian adalah sebanyak 20% atau 1/5. Kadar zakat bagi harta jumpa yang tidak dipunyai sesiapa sekalipun harta tersebut dijumpai di permukaan atau di dalam tanah. Sekiranya harta yang dijumpai itu ada pemiliknya, sama ada dia seorang muslim atau tidak, maka harta itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya.