Semua binatang ternakan diciptakan Allah SWT untuk kepentingan manusia. Ia digunakan untuk ditungganginya sebagai kenderaan, dimakan dagingnya, diminum susunya dan diambil bulu serta kulitnya. Oleh kerana itu, Allah SWT meminta para pemilik binatang bersyukur atas nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada mereka. Realisasi dari syukur tersebut adalah dengan tuntutan berzakat.
Zakat ternakan ialah zakat yang dikenakan ke atas binatang-binatang yang diternak daripada
jenis lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta apabila sempurna syarat-syaratnya.
Dalil Zakat Ternakan
Daripada Abu Dzar RA: Apabila aku pergi kepadanya (Rasulullah) lalu Baginda berkata: Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang lelaki pemilik unta, lembu atau kambing yang tidak menunaikan haknya (zakat) melainkan haiwan tersebut akan didatangkan pada hari kiamat dalam keadaan yang lebih besar dan lebih gemuk. Haiwan tersebut memijaknya dengan kaki-kakinya dan menyondol dengan tanduk-tanduknya. Tatkala haiwan terakhir telah melintas, maka haiwan yang pertama akan dikembalikan kepadanya, hingga pengadilan selesai dilakukan di antara manusia.
(HR Bukhari no.1460 & Muslim no. 990)
Syarat Wajib Zakat Ternakan
1. Islam
2. Milik Sempurna
3. Cukup Nisab
Seseorang itu harus memiliki sejumlah minima yang memungkinkan dia diwajibkan zakat. Bagi ternakan unta, jumlah minima ialah 5 ekor bagi kambing/ biri-biri, tidaklah diwajibkan zakat apabila di bawah 40 ekor. Manakala nisab lembu dan kerbau ialah 30 ekor.
4. Cukup Haul
Cukup haul iaitu genap peredaran masa setahun binatang itu dimiliki atau dibelanya. Di mana kewajipan membayar zakatnya jatuh pada penghujung tempoh berkenaan. Bagi anak binatang yang lahir dalam waktu (pertengahan) haul, tidak diwajibkan zakat, namun boleh dikira sekali bagi mencukupkan nisab binatang-binatang ternakan yang sudah matang. Perkara ini merupakan pandangan oleh Abu Hanifah, al Shafi’i, Ibn Hazm dan lain-lain sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh Zakat.
5. Digembalakan
Bermaksud ia diurus sepanjang tahun untuk memperoleh susu, dibiakkan atau diperoleh dagingnya. Binatang-binatang ternakan juga perlu saaimah ertinya binatang-binatang itu dipelihara di padang ternakan bebas bagi kebanyakan hari dalam tempoh setahun. Yang dimaksud padang rumput yang mubah adalah padang rumput yang tumbuh dengan sendirinya dan bukan dari hasil usaha manusia.
6. Tidak Dipekerjakan
Binatang ternakan yang digunakan untuk bekerja seperti membajak tanah ladang dan mengambil air untuk menyirami tanaman tidak ubah seperti alat-alat yang digunakan untuk mengerjakan tanah tersebut, dan hasilnya yang berupa tanaman atau buah-buahan lah yang sepatutnya wajib dikeluarkan zakatnya.
Nisab dan Kadar Zakat Ternakan
Sesuai dengan ijmak ulama dan hadis-hadis sahih, maka nisab binatang ternakan dan kadar zakatnya adalah seperti berikut:
| NO | KADAR NISAB | KADAR WAJIB DIZAKATKAN | ||
|---|---|---|---|---|
| BILANGAN | JANTINA | UMUR | ||
| 1 | 40 – 120 ekor | 1 ekor kambing / biri-biri | Jantan / Betina | 1 tahun lebih |
| 2 | 121 – 200 ekor | 2 ekor kambing / biri-biri | Jantan / Betina | 1 tahun lebih |
| 3 | 201 hingga 399 ekor | 3 ekor kambing / biri-biri | Jantan / Betina | 1 tahun lebih |
| 4. | 400 ke atas | 1 ekor kambing / biri-biri bagi setiap 100 ekor | Jantan / Betina | 1 tahun lebih |
| NO | KADAR NISAB | KADAR WAJIB DIZAKATKAN | ||
|---|---|---|---|---|
| BILANGAN | JANTINA | UMUR | ||
| 1 | 5 hingga 24 ekor | 1 ekor kambing bagi setiap 5 ekor unta | Jantan / Betina | 1 tahun lebih |
| 2 | 25 hingga 35 ekor | 1 ekor unta | Betina | 1 tahun |
| 3 | 36 hingga 45 ekor | 1 ekor unta | Betina | 2 tahun |
| 4 | 46 hingga 60 ekor | 1 ekor unta | Betina | 3 tahun |
| 5 | 61 hingga 75 ekor | 1 ekor unta | Betina | 4 tahun |
| 6 | 76 hingga 90 ekor | 2 ekor unta | Betina | 2 tahun |
| 7 | 91 hingga 120 ekor | 2 ekor unta | Betina | 3 tahun |
| 8 | 121 ke atas | Mengikut gandaan | Betina | 2 tahun/ 3 tahun |
*Nota: Bagi Unta, zakat dikira mengikut gandaan peliharaan
(40 ekor Unta = zakat 1 Unta Betina (2 tahun) & 50 ekor Unta = zakat 1 Unta Betina (3 tahun)
| NO | KADAR NISAB | KADAR WAJIB DIZAKATKAN | ||
|---|---|---|---|---|
| BILANGAN | JANTINA | UMUR | ||
| 1 | 30 hingga 39 ekor | 1 ekor | Jantan | 1 tahun lebih |
| 2 | 40 hingga 59 ekor | 1 ekor | Betina | 2 tahun lebih |
| 3 | 60 dan ke atas | Mengikut gandaan | Jantan / Betina | 1 tahun lebih / 2 tahun lebih |
*Nota: Bagi Lembu & Kerbau, zakat dikira mengikut gandaan peliharaan
(30 ekor lembu = zakat 1 Jantan & 40 ekor lembu = zakat 1 Betina)
Pemilihan Binatang Ternakan
Ada beberapa syarat dikehendaki kepada binatang yang ingin diserahkan sebagai zakat, iaitu:
1. Bebas Dari Kecacatan Dan Kerosakan
Binatang tersebut tidak sakit, luka, terlalu tua, pekak, tempang dan sebagainya dan kecacatan lain yang mengurangkan manfaatnya serta nilai harganya. Namun dikecualikan sekiranya semua binatang ternakan yang diternak mengalami kecacatan yang sama.
2. Betina
Unta mestilah betina. (khusus untuk zakat ternakan unta)
3. Umur
Telah ditetapkan umur-umur tertentu bagi kadar binatang yang ingin dizakatkan. Keterikatan dengan umur kerana mengambil zakat di bawah umur akan mengurangkan manfaat kepada golongan asnaf, manakala mengambil zakat melebihi umur yang disyaratkan akan menzalimi pemilik binatang tersebut.
Para pengutip zakat (amil) tidak boleh mengambil zakat yang terlalu baik atau yang terlalu buruk, akan tetapi harus mengambil yang pertengahan kecuali pemilik tersebut rela menyerahkannya yang paling baik.
Kaedah Pembayaran Zakat Ternakan di PPZ-MAIWP
Pembayaran zakat ternakan melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) boleh dilaksanakan berdasarkan ketentuan berikut:
1. Taksiran dan bentuk nilai pembayaran
Taksiran dalam bentuk tunai: Nilai zakat ternakan akan ditaksir dan dibayar dalam bentuk wang ringgit (RM).
2. Kaedah Pengiraan
Pilihan Penternak Komersial: Bagi penternak yang mengusahakan ternakan untuk tujuan perniagaan, mereka diberi pilihan sama ada mahu menggunakan kaedah pengiraan Zakat Perniagaan atau Zakat Ternakan.