Zakat Saham

Apa Itu Zakat Saham

Saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian. Apabila saham disenaraikan di pasaran saham, nilainya mungkin berbeza dengan nilai asalnya. Ini kerana saham yang didagangkan akan membolehkan nilainya untuk turun naik mengikut faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran, sepeti pencapaian syarikat, keadaan ekonomi, kestabilan politik tempatan dan antarabangsa.

Dalil Zakat Saham

Para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham. Ia diambil berdasarkan dalil al-Quran berikut yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:

Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipananskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya?

Kriteria Saham

Memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ianya terhindar dari aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Secara umumnya, saham boleh dikatakan mempunyai kriteria-kriteria berikut

  1. Berbentuk dokumen, skrip atau sijil yang boleh mengisbatkan hak-hak pemiliknya ketika berlaku tuntutan.
  2. Mempunyai nilai yang sama dan tidak berbeza-beza bagi setiap satu unit bagi memudahkan pengiraan dan pembahagian keuntungan.
  3. Boleh bertukar milik melalui proses transaksi seperti jual beli.

Fatwa Zakat Saham

Fatwa Mengenai Kaedah Taksiran Zakat Mengikut Baki Akhir (Hujung Haul)

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-111 pada 4 Oktober 2018 Agenda 3.1.: Kertas Kerja Bil. 1/111/2018 iaitu Cadangan Fatwa Mengenai Kaedah Taksiran Zakat Mengikut Baki Akhir (Hujung Haul).

Mesyuarat telah meneliti kertas cadangan ini dan membuat keputusan bersetuju dengan pendapat mengatakan penggunaan baki terakhir di penghujung haul adalah lebih menepati.

Mesyuarat berpendapat bahawa jika penilaian dibuat sepanjang masa akan menyusahkan dan sukar kerana apabila nisab berkurangan pada mana-mana tempoh dalam setahun maka haulnya terputus.

Fatwa Ke Atas Individu Pemilik Saham Dan Kaedah Pengiraan

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-94 pada 11 November 2015 telah berbincang dan setelah meneliti pandangan ahli-ahli, mengambil keputusan seperti berikut:

  1. Zakat wajib dikenakan terhadap pemilik-pemilik saham individu dan dikategorikan sebagai Zakat Saham.
  2. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan adalah 2.5% daripada nilai pasaran saham-saham semasa yang berada dalam pemilikannya.
  3. Saham yang dibeli untuk tujuan diurusniagakan atau berjangka pendek hendaklah dizakatkan dengan kadar sebanyak 2.5% daripada nilai pasaran semasa yang berada dalam pemilikannya.
  4. Saham yang dibeli untuk mendapat pulangan tahunan atau pemilikan jangka masa panjang hendaklah dizakatkan dengan kadar sebanyak 2.5% daripada harga saham mengikut pasaran semasa.
  5. Pemilikan saham-saham tidak patuh syariah adalah tidak diharuskan. Sebarang keuntungan daripada penjualan semula saham tidak patuh syariah hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal atau saluran-saluran kebajikan. Manakala modal asas hendaklah dizakatkan sebagaimana zakat wang simpanan dengan kadar 2.5% daripada jumlah tersebut.
  6. Pemilikan saham yang bercampur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah hendaklah dibersihkan keuntungannya mengikut nisbah. Keuntungan (perbezaan harga beli dan harga jual) yang diperoleh hendaklah ditolak kadar nisbah tidak patuh syariah yang perlu dilupuskan. Manakala modal asas dan baki keuntungan yang patuh syariah hendaklah dizakatkan sebagaimana zakat saham dengan kadar 2.5% daripada jumlah tersebut

Kaedah Pengiraan Zakat Saham

Saham Yang Dijual Beli Dalam Setahun

Nilai Saham Semasa (RM)84,000.00
Baki Semasa Trust Account (RM)+ 5,000.00
Kos Berkaitan (RM) – 350.00
Jumlah (RM)88,650.00
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)2,216.25

Saham Yang Disimpan Melebihi Setahun Bertujuan Menjana Keuntungan Melalui Dividen

Nilai Saham Semasa (RM)84,000.00
Baki Semasa Trust Account (RM)+ 5,000.00
Dividen (RM)+ 1,000.00
Kos Berkaitan (RM) – 400.00
Jumlah (RM)89,600.00
Kadar Zakat2.5%
Jumlah Zakat (RM)2,240.00