Fidyah

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadan.

Kandungan 

Hukum Fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT:

Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Golongan Yang Wajib Membayar Fidyah

Uzur Menunaikan Puasa Wajib

Terdiri daripada golongan menghidapi penyakit yang tiada harapan untuk sembuh, atau orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah boleh dibayar bermula masuknya Ramadan tahun semasa.

Contoh:
Haji Karim pengidap diabetes yang menjalani dialisis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira seperti berikut:

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


30 hari × RM4.00
Jumlah Fidyah: RM120.00

Perempuan Yang Mengandung Atau Sedang Menyusukan Anak Yang Khuatir Keselamatan Bayi Yang Dikandung Atau Anak Yang Sedang Disusukan

Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini wajib membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. Jika puasa belum digantikan sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah yang lain kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:
Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar:

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


7 hari × RM4.00
Jumlah Fidyah: RM28.00

  • Fidyah ini disebabkan oleh Puan Rina meninggalkan puasa kerana khuatir keselamatan anaknya.
  • Puan Rina perlu menggantikan puasanya sebelum tiba Ramadan berikutnya.
  • Jika Puan Rina masih belum menggantikan puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya maka beliau akan dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa.

Perempuan Yang Mengandung Atau Sedang Menyusukan Anak Namun Khuatir Akan Keselamatan Dirinya Ketika Berpuasa.

Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan. Jika masih tidak berganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:
Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


10 hari × RM4.00
Jumlah Fidyah: RM40.00

Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris-warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Contoh:
Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira:

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


13 hari × RM4.00
Jumlah Fidyah: RM52.00

Orang Yang Sengaja Meninggalkan Puasa Ramadan

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Contoh:
En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah:

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


3 hari × RM4.00
Jumlah Fidyah: RM12.00

Panduan Penentuan Qada Dan Fidyah

Bil. Situasi Qada Fidyah
1. Musafir dan orang yang sakit kemudian sembuh kembali namun tidak mengqada puasa sehingga melangkah Ramadan berikutnya. Ya Ya
2. Wanita hamil yang bimbangkan keselamatan anak dalam kandungan jika berpuasa Ramadan. Ya Ya
3. Wanita yang menyusukan anak dan bimbangkan keselamatan bayinya jika berpuasa Ramadan. Ya Ya
4. Wanita yang didatangi haid sehingga menghalangnya berpuasa Ramadan namun tidak menggantikannya sehingga melangkah Ramadan tahun berikutnya. Ya Ya
5. Wanita yang didatangi haid sehingga menghalangnya berpuasa Ramadan. Ya Tidak
6. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan. Ya Tidak
7. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan diri dan bayinya jika berpuasa Ramadan. Ya Tidak
8. Musafir yang berbuka puasa kerana perjalanannya. Ya Tidak
9. Orang sakit sehingga menghalangnya berpuasa Ramadan namun sembuh semula (sakit sementara). Ya Tidak
10. Orang tua yang terlalu uzur dan tidak mampu berpuasa Ramadan. Tidak Ya
11. Orang yang sakit berlarutan (kronik) sehingga tiada harapan untuk sembuh kembali. Ya Tidak

Contoh Pengiraan Fidyah

Untuk memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Fatimah meninggalkan puasa selama 7 hari kerana haid pada bulan Ramadan 1438H (2017). Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:

Situasi 1

Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada tahun 1439H (2018).

Contoh Pengiraan

Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah


7 hari × RM4.00
Jumlah fidyah: RM28.00

Situasi 2

Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.

Contoh Pengiraan

(Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah) × Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan


(7 hari × RM4.00) × 3 Tahun
Jumlah fidyah: RM84.00

Justeru kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H adalah 3 tahun. Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya.