Soalan Lazim Zakat

Agihan Sendiri Zakat

Antara Pro dan Kontra

Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan zakat di bawah bidang kuasa negeri. Semua negeri di Malaysia telah memperuntukkan  perkara berkenaan dengan urusan zakat ini sama ada di bawah akta atau enakmen di negeri masing-masing atau diletakkan di bawah enakmen khusus tentang zakat. Akta atau enakmen juga memperuntukkan kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat yang dilantiknya memungut zakat daripada pemilik harta dan setiap orang yang melanggar akta atau enakmen tersebut boleh dikenakan hukuman.

Menurut Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Majlis atau wakilnya untuk memungut zakat. Ini bermaksud, orang yang membayar zakat atau fitrah melalui amil yang tidak dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Pandangan ini hendaklah diperhalusi mengikut pandangan para fuqaha’. Secara asasnya zakat merupakan kewajipan yang jelas dalam Islam bagi setiap individu dan harta yang dikenakan zakat.  Namun begitu zakat bukan sekadar urusan individu tetapi melibatkan soal tanggungjawab dan campurtangan pemerintah menerusi Baitulmal dan seumpamanya untuk menguruskan zakat secara sistematik dari aspek kutipan dan agihan serta pengurusan wang zakat. Para fuqaha’ berpandangan bahawasanya pemerintah berkuasa memungut zakat dari harta-harta zahir dan sekiranya diminta untuk ditunaikan, maka wajib bagi rakyat membayar kepadanya. Syaikh Atiyyah Muhammad Salim rhm. Menghuraikan kata-kata Abu Bakar al-Siddiq r.a tatkala memerangi orang yang enggan berzakat adalah bukan sahaja kepada yang ingkar kewajipannya sahaja tetapi termasuk juga mereka yang ingkar menunaikannya kepada pemerintah.

Walaupun begitu, elok jika kita lihat pandangan ulama’ sekiranya melibatkan harta-harta batin (seperti emas, perak , wang, perniagaan dan sebagainya) :

Hanafiah: Pengurusan zakat harta batin diserahkan kepada pemilik harta tersebut. Zakat ini pada asalnya di bawah kuasa pemerintah, tetapi pada masa Saidina Uthman r.a. pengurusannya diserahkan kepada tuan punya harta kerana maslahah tertentu.

Malikiah: Wajib membayar zakat kepada pemerintah yang adil sama ada harta zahir atau batin.

Syafi’eiyyah: Pemilik harta hendaklah mengagihkan sendiri zakat harta batin iaitu emas, perak, barang perniagaan dan zakat fitrah (menurut satu pendapat, sementara satu pendapat lagi mengatakan zakat fitrah termasuk harta zahir).

Hanabilah: Tidak wajib menyerahkan zakat kepada pemerintah, tetapi pemerintah boleh menerimanya sama ada harta zahir atau batin.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat kesimpulan bahawasanya para fuqaha’ walaupun berselisish pandangan, namun wujud persepakatan dari aspek :

  1. Adalah hak pemerintah untuk memungut zakat samada harta zahir atau batin daripada rakyatnya apatah lagi jika urusan zakat diremehkan oleh masyarakat awam.
  2. Jika pemerintah cuai dalam melaksanakan tanggungjawab agihan, tidak sama sekali gugur kewajipan zakat atas individu pemilik harta tetapi wajib dilaksanakan terus kepada asnaf

Secara umumnya, agihan dilihat lebih sistematik dan menyeluruh jika dibuat menerusi institusi amil seperti Baitulmal dan pihak berkuasa zakat negeri. Tidak kira samada harta tersebut bersifat batin atau zahir pengurusannya tertakluk kepada pihak pemerintah mengikut panduan yang jelas dalam nas-nas yang berkaitan. Pandangan ini juga dipersetujui oleh beberapa ulama’ lainnya seperti Syaikh Abd Wahhab Khallaf, Syaikh Abd Rahman Hassan dan Syaikh Muhammad Abu Zuhrah.

Sumber umum lihat  : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-mengagihkan-zakat-secara-persendirian-dan-qada-zakat

Antara panduan yang boleh diikuti adalah seperti berikut :

  1. Mesti memastikan penerima dari kalangan asnaf yang layak dan termasuk dalam tafsiran asnaf samada dari pemahaman klasik ataupun semasa.
  2. Merujuk dan memaklumkan terlebih dahulu kepada amil yang dilantik atau pihak berkuasa zakat negeri sebelum membuat agihan sendiri.
  3. Jumlah zakat yang ingin ditunaikan adalah besar sebagaimana yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami. Jumlah yang besar atau kecil ini diputuskan oleh pihak berkuasa zakat. Zakat yang melebihi RM 10,000 sebagai contoh boleh dianggap sebagai jumlah yang besar.  Sekiranya zakat dalam jumlah sedemikian, maka sebahagiannya bolehlah dibuat agihan sendiri dan sebahagian yang lain perlu ditunaikan ke pihak yang berwajib.

Sebagai makluman tambahan, pihak Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menwarkan skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf. Untuk maklumat lanjut sila hubungi pihak Pusat Pungutan Zakat.

Dalam hal ini perlu dilihat kepada dua keadaan. Pertama sekiranya diberitahu kepada penerima tersebut bahawasanya wang tersebut adalah wang zakat dan ternyata setelah diberikan, penerima tersebut bukan dari asnaf yang berhak. Jika ini berlaku, maka hendaklah pihak muzakki itu samada :

  1. Meminta kembali wang tersebut dan mengagihkannya semula kepada yang berhak.
  2. Jika sukar untuk memintanya kembali, perlu diganti wang tersebut dengan wang yang lain untuk disalurkan kepada yang berhak sebagai zakat.

Kedua, jika pembayar zakat itu tahu penerima tersebut tidak berhak ketika wang tersebut diagihkan, tetapi tidak memberitahu bahawasanya wang tersebut adalah wang zakat, maka tanggungjawab zakat itu masih belum terlepas dan masih tertanggung atasnya untuk ditunaikan.

Perkara ini adalah sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap dua pemuda yang meminta zakat dari Baginda s.a.w. Lalu sabda Nabi s.a.w :

Jika kamu berdua mahukannya nescaya aku akan memberikannya (zakat) kepada kamu. Namun ingat, bahawasanya tidak ada bahagian yang diperuntukkan dari wang zakat untuk orang kaya mahupun untuk bagi orang yang kuat lagi berdaya untuk mencari rezeki sendiri. [Hadith riwayat al-Daruquthni no 1760]

Zakat Rambut Bayi

Sebenarnya tiada istilah yang khusus mewajibkan zakat atas rambut bayi. Yang wujud serta menjadi amalan dan sunnahnya ialah bersedekah sekadar timbangan berat rambut bayi tersebut samada dengan nilaian emas atau perak. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w melakukan aqiqah untuk Hassan r.a dengan seekor kambing seraya bersabda mafhumnya : “Wahai Fatimah. Cukurlah rambut di kepalanya lalu sedekahkanlah sebanyak nilaian berat timbangan rambutnya itu dengan wang perak.” Setelah ditimbang, nilaiannya sekadar satu dirham atau beberapa dirham. [Hadith riwayat Imam al-Tirmizi]

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Rafi’ bahawasanya tatkala Fatimah r.a melahirkan Hassan, Rasulullah s.a.w mengarahkannya agar mencukur kepalanya dan menyedekahkan nilaian timbangannya dengan wang perak kepada golongan miskin dan al-Afawidh (golongan fakir dan miskin yang juga dikenali sebagai ahli suffah di Masjid Nabawi) [Hadith riwayat Imam Ahmad dan dihasankan oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani r.h.m]

Dalam al-Musu’ah al-Fiqhiyyah (26/107) menyatakan : Jumhur ulama’ Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpandangan bahawasanya perbuatan mencukur rambut dan bersedekah dengan nilai timbangannya itu adalah sesuatu yang mustahab (sunat). Mereka berbeza pandangan dengan jumlah nilaian yang perlu disedekahkan. Menurut mazhab Maliki dan Syafi’e, adalah sunat disedekahkan berat timbangan rambut yang dicukur itu dengan nilai emas atau perak. Manakala menurut mazhab Hanbali pula nilain timbangan yang disedekahkan adalah berdasarkan kepada nialaian perak. Sekiranya rambut tersebut tidak dicukur, maka hendaklah dianggarkan berat tersebut dan disedekahkan mengikut nilaian yang termampu.

Hukum perbuatan ini adalah sunnah dan bukan wajib. Jika ianya dikategorikan sebagai zakat, sudah tentulah konotasinya akan bersifat wajib. Maka jelaslah kepada kita bahawasanya hukumnya adalah sunat dan digalakkan bagi mereka yang berkemampuan tanpa mengabaikan galakan melakukan aqiqah. Kedua-duanya ini adalah amalan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Sebagai contoh jika ditimbang misalnya rambut yang telah dicukur seberat 2 gram. Maka kiraannya adalah seperti berikut:

  1. Kadar nilai timbangan untuk disedekahkan dengan emas :-
    2 gram x RM 154.27 (harga emas per gram) = RM 308.54
    Jumlah sedekah yang perlu dikeluarkan adalah sebanyak RM 308.54
  1. Kadar nilai timbangan untuk disedekahkan dengan perak :-
    2 gram x RM 3.45 (harga perak per gram) = RM 6.90
    Jumlah sedekah yang perlu dikeluarkan adalah sebanyak RM 6.90

Hal ini adalah terpulang kepada individu masing-masing. Jika berkemampuan, maka boleh memilih harga yang dinilaikan dengan emas. Jika tidak, maka nilaian perak boleh menjadi pilihan. Pandangan para ulama’ dan fuqaha’ juga menjurus kepada mentarjihkan nilaian perak sebagai sandaran untuk bersedekah. Namun, nilailah kemampuan masing-masing kerana Allah sekali-kali tidak mensia-siakan amalan yang dilakukan apatah lagi jika dilakukan dengan ikhlas dan memilih yang terbaik untuk dilaksanakan.

Masalah ini kerap juga ditanya oleh penggemar haiwan dan mereka yang membela haiwan peliharaan seperti kucing dan seumpamanya. Sebelum menjawab persoalan, terlebih dahulu secara ringkas perlu disebutkan tentang hukum mengembiri atau mengkasi (spay / castration / neuter).

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (19/112) menyebutkan bahawasanya para ulama dari mazhab al-Hanafi berpendapat tidak mengapa mengkasi haiwan, kerana ada padanya manfaat kepada binatang dan juga manusia. Ulama mazhab Malik pula berpendapat harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya tanpa ada hukum makruh, untuk penghasilan daging yang lebih baik. Ulama mazhab Syafi’e pula membezakan antara haiwan yang dimakan dagingnya dan yang tidak dimakan dagingnya. Mereka berpendapat adalah harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya ketika ia kecil, dan diharamkan selain daripada itu (yang tidak dimakan dagingnya) dengan syarat proses mengkasi itu tidak mendatangkan kecelakaan kepada haiwan. Ulama Hanbali pula mengharuskan mengkasi kambing untuk mengelokkan dagingnya. Dikatakan bahawasanya makruh hukumnya mengkasi kuda dan haiwan lain.

Kesimpulannya, sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin soleh al-Uthaimain r.h.m bahawasanya dalam masalah mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah, akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.

Masalah haiwan peliharaan seperti kucing dan seumpamanya, jika banyak jumlahnya dan menyusahkan serta proses mengkasinya tidak memudharatkannya maka perbuatan ini tidak menjadi masalah. Ini kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas Allah menciptakannya. Namun, jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik. (Lihat Fatawa Islamiyah 4/448).

Adapun persoalan perlu dizakatkan atau tidak selepas haiwan tersebut dikembirikan atau dikasikan, zakat itu tidak wujud. Cuma, adalah baik sekiranya kita menganggarkan sejumlah wang untuk disedekahkan sebagai ganti perbuatan kasi yang dilakukan. Hal ini pernah disebut oleh Syeikh Abu Bakar bin Jabir al-Jazairi hafizahullah dalam salah sebuah kuliah beliau di Masjid Nabawi.

Zakat Kepada Mangsa Banjir

Semoga Allah kurniakan kesabaran dan ganjaran pahala atas musibah yang menimpa mereka. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakat menyatakan bahawasanya golongan yang ditimpa musibah seperti banjir dan seumpamanya layak untuk menerima zakat menerusi peruntukan asnaf al-Gharimin (orang yang berhutang).

Antara kriteria penerimaan zakat oleh golongan al-Gharimin adalah kedudukan mereka terpaksa berhutang untuk diri sendiri atau orang lain. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan : “Terlebih khusus untuk dimasukkan dalam golongan asnaf al-Gharimin ini adalah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam yang menyebabkan mereka hilang atau keputusan sumber pendapatan dan menyebabkan mereka terpaksa berhutang kerana bencana tersebut disebabkan keperluan mendesak terhadap diri dan keluarga mereka maka hukumnya dibolehkan zakat untuk mereka.” [Fiqh zakat 2/622]

Imam Mujahid membahagikan al-Gharimin secara umumnya kepada tiga kumpulan :

Pertama : Mereka yang hartanya hilang atau hanyut kerana banjir.

Kedua : Mereka yang musnah hartanya akibat kebakaran.

Ketiga : Ketua keluarga yang mempunyai tanggungan namun tiada harta atau punca pendapatan baginya untuk menaggung keluarganya.

Dalam Irsyad al-Fatwa ke-14 yang diterbitkan menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan oleh S.S Dr Zulkifli Mohamed al-Bakri memuatkan hadith  daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali r.a menyatakan yang mafhumnya :

“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.” [Hadith Riwayat Muslim no 1044]

Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan:

“Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]

(http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=191:hukum-memberi-zakat-kepada-mangsa-bencana-alam-seperti-banjir-dan-lain-lain&catid=48&Itemid=333)

Sebagaimana saranan Y.Bhg S.S Dr. Zulkifli Mohemed al-Bakri, mufti Wilayah Persekutuan kaedah yang beliau cenderung adalah agar zakat tersebut disalurkan kepada pihak Baitulmal atau pihak berkuasa zakat di negeri terbabit untuk memksimakan agihan dan mewujudkan keserataan.

Adalah dicadangkan kepada para individu yang ingin menyumbang, supaya zakat disalurkan dalam bentuk wang dan bukan barangan seperti pakaian, perabot, keperluan rumah, makanan dan seumpamanya kerana dikhuatiri berlaku kerosakan atau pembaziran. Lebih utama diberikan dalam bentuk wang ringgit kerana lebih wajar dalam menepati maqasid dan keperluan mereka yang hilang harta dan tempat tinggal bagi tujuan membangun semula kehidupan.

Dalam kes bencana, orang kaya yang terkena juga turut berhak menerima zakat tetapi dalam jumlah yang sesuai dan tidak melebihi dari hajat atau keperluan terdesak mereka. Namun, keutamaan wajib diberikan kepada yang lebih memerlukan di kalangan orang-orang yang kurang berharta atau fakir miskin. Adapun mereka yang berharta, jika menolak dan lebih mengutamakan yang lain, sikap begini amatlah terpuji dan baik sekali.

Zakat Hutang, Perkongsian dan Waqaf

Menurut pandangan oleh Imam al-Syafi’e r.h.m, pemilik harta yang dihutangkan kepada orang kaya wajib membayar zakatnya setiap tahun walaupun belum menerimanya. Ini adalah disebabkan kuasa menuntut dan keupayaan membayar oleh pihak berhutang dan kemungkinan melakukan tasarruf pada harta tersebut. Ia sama seperti barang wadi’ah (yang ditumpangkan atau ditinggalkan pada jagaan seseorang).

Adapun menurut pandangan Imam Abu Hanifah dan Ahmad, pemilik harta wajib membayar zakat tatkala harta yang dihutangkan itu dibayar kepadanya. Jika berlalu beberapa tahun, maka zakat perlu dibayar juga bagi tahun-tahun yang terlepas itu.

Namun, Imam Malik turut berpandangan serupa tentang kewajipan zakat dibayar hanya setelah diterima, namun zakat dibayar hanya untuk tahun semasa iaitu tahun si pemberi hutang menerima kembali hutangnya dari pihak yang berhutang sahaja.

Oleh kerana zakat adalah terkait dengan hak fakir miskin, maka adalah lebih utama bagi mereka yang berharta menganggap hutang itu sama seperti wadi’ah yang mirip kepada harta yang berada di tangan sendiri  maka zakatnya dibayar setiap tahun walaupun belum diterima hutangnya itu.

Namun begitu elok jika dilihat Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1985 ialah:

  1. Wajib zakat hutang ke atas pemberi hutang setiap tahun jika yang berhutang mudah membayarnya; dan
  2. Wajib zakat hutang ke atas pemberi hutang selepas setahun daripada memilikinya jika yang berhutang sukar dan lambat membayarnya

Sebahagian para ulama’ menyatakan pandangan jika harta yang dihutangkan kepada orang miskin hanya wajib dizakatkan setelah hutang tersebut diperolehi kembali. Adapun sebahagian yang lain menyatakan harta tersebut tidak lagi diwajibkan zakat kerana manfaatnya sudah tidak diharapkan lagi boleh diterima.

Bagi mengimbangi pandangan ini, elok jika kita melihat kepada athar dari saidina Ali r.a yang bermaksud:

“Pada isu hutang yang disangka (sangkaan yang kuat dan benar) mampu diperolehi kembali jika hal itu benar, maka hendaklah dikeluarkan zakat setelah hutang tersebut diterimanya dan juga bagi tahun-tahun yang berlalu.”

Hal ini banyak dibincangkan dalam bahagian zakat tanaman dan dalam bab berkaitan dengan golongan zimmi dan harta orang murtad.

Jumhur para ulama’ menyatakan zakat tidak wajib pada orang zimmi. Begitu juga jika mereka telah memeluk Islam, maka tidak diwajibkan zakat bagi masa-masa terdahulu sebelum Islam.

Dalam kes orang bukan Islam, ada bahagian lain dalam peruntukan tanggungjawab mal iaitu kharaj dan jizyah, dan bukan zakat. Namun, persoalan tersebut ada penafsiran hokum tersendiri dan terkhusus pada masalahnya.

Dalam kes perkongsian yang melibatkan bukan Islam, maka peratusan pemilik muslim sahaja yang diambil kira dalam kewajipan berzakat.

Dalam hal ini kita melihat kepada pandangan oleh Imam al-Nawawi r.h.m dalam al-Majmu’ (5/575-576) bahawasanya jika sekiranaya tanaman tersebut yang terhasil dari tanah waqaf yang bersifat waqaf umum seperti kegunaan masjid, pendidikan, fakir-miskin, anak yatim, armalah (janda) dan seumpamanya maka tidak dikenakan zakat. Begitu juga pandangan Ibn Munzir . Ini adalah hasilnya boleh dimanfaatkan secara bebas oleh sesiapa yang berkaitan.

Akan tetapi jika tanah tersebut diwaqafkan bagi individu tertentu misalnya atau tujuan khas, maka wajiblah padanya zakat 1/10 tanpa khilaf.

Dalam hal ini kita perlu melihat bahawasanya kewajipan zakat dan galakan waqaf adalah dua hal yang berbeza. Zakat perlu ditunaikan dan diserahkan kepada pemiliknya yang berhak mengikut lapan asnaf yang diterangkan oleh Allah Ta’ala dalam surah al-Taubah ayat 60.

Ada pandangan yang melarang zakat digunakan untuk manfaat waqaf kerana boleh mensasarkan kepada penerima yang bukan asnaf. Namun, pandangan dari Dr Yusuf al-Qaradhawi dengan menukilkan pandangan Imam al-Nawawi berkenaan keharusan pemerintah menentukan kaedah dan bentuk agihan kepada asnaf terutama dalam bahagian fi sabilillah menyatakan keharusan meletakannya pada manfaat waqaf tetapi dalam lingkungan penerima manfaat tersebut juga terdiri dari kalangan asnaf yang berhak.

Kesimpulannya, adalah lebih utama jika dipisahkan antara kewajipan zakat dan kegunaannya dengan galakan berwaqaf. Kecuali jika hanya menerusi medium waqaf, akat tersebut dapat dijana lebih baik dan kegunaannya adalah terkhusus buat asnaf. Ini menjadi tanggungjawab dan pilihan pemerintah dan pentadbir harta zakat. Jika tiada keperluan mendesak, maka elok diasingkan perlaksanaan kedua-dua ibadah ini secara khusus bagi mengelakkan sebarang khilaf. Wallahu a’alam.

Memahami Hubungan Antara Cukai dan Zakat

Cukai dan zakat adalah dua perkara yang secara kasarnya dilihat punya persamaan namun sangat berbeza konsep, kaedah, pensyariatan mahupun aspek kewajipannya.

Cukai sebagaimana yang ditakrifkan oleh para ulama’ kewangan menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi ialah : Kewajipan (kewangan) yang dilazimkan kepada rakyat untuk membayarnya kepada pihak pemerintah (negara) mengikut kadar yang tertentu dengan melihat kepada keperluan dan manfaat yang bakal dilaksanakan oleh pihak pentadbiran negara bagi memenuhi keperluan umum rakyat di dalam sebuah negara dan bagi merealisasikan sebahagian dari perancangan dan penstrukturan ekonomi, kemasyarakatan, politik dan pentadbiran dan lain-lain tujuan demi kemaslahatan umum yang menjadi agenda sesebuah negara. [Fiqh al-Zakah, Jilid 2 m/s 997]

Cukai adalah tanggungjawab kepada negara dan sumber cukai adalah dari semua jenis hasil pendapatan dan boleh dipungut ke atas semua rakyat yang mempunyai pendapatan. Cukai juga dikutip adalah bagi tujuan kepentingan pentadbiran negara sepertimana yang dinyatakan oleh Dato’ Haji Abdul Aziz @ Ambak Ismail, Ahli Jemaah Fatwa Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bahawa:

“Kalau rujuk kepada perintah usul perintah ataupun hukum syarak dalam Islam yang bermaksud; sebarang urusan pemerintah terhadap rakyat di kawasan negeri tertentu adalah tertakluk kepada adanya kebajikan dan kemaslahatan kepada rakyat itu sendiri.”

Beliau juga menyatakan bahawa kaedah mengenakan cukai penting bagi menjaga kepentinganrakyat dan dalam kaedah siasah Islamiah, pemerintah dengan rakyat adalah sama-sama bertanggungjawab. Pemerintah (kerajaan) bertanggungjawab terhadap rakyat dan rakyat mestilah juga bertanggungjawab terhadap pemerintah yang berkuasa iaitu kedua-dua pihaksaling tolong menolong kerana pemerintah memberi perkhidmatan kepada rakyat danmengadakan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Rakyat sepatutnya memberi kerjasamakepada pemerintah dengan mematuhi peraturan yang dikenakan selagi tidak wujud kezaliman.

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, cukai dari segi bahasa Arab ialah “dharibah di mana dinyatakan didalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 61 yang bermaksud:

“Lalu mereka itu ditimpa kehinaan dan kemiskinan…”

Berdasarkan ayat tersebut cukai bermaksud sesuatu yang ditimpa atau dalam ertikata lain tekanan. Ini bermakna cukai adalah bayaran yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat [Lihat kertas kerja oleh Dr. Ruziah Ghazali : Implikasi Zakat Terhadap sistem Percukaian Negara]

Adapun zakat merupakan kewajipan secara khusus dalam agama yang bermaksud sesuatu hak yang tertentu berdasarkan kadar yang tertentu dalam harta umat islam yang ditunaikan kepada golongan yang tertentu dengan syarat yang tertentu bertujuan untuk mensyukuri nikmat Allah serta bertaqarrub kepadaNya dalam erti menyucikan jiwa dan harta.

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al Maarij ayat 24 – 25 yang bermaksud:

“Dan orang yang dalam hartanya ada hak yang tertentu, untuk orang yang meminta dan orang miskin yang tak mahu meminta.”

Pada asasnya cukai tidak diwajibkan ke atas umat Islam. Yang wajib ke atas umat Islam adalah zakat. Hal ini bersandarkan kepada banyak dalil daripada hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya hadis daripada Fatimah binti Qais, bahwa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada kewajiban dalam harta kecuali zakat,”
[hadith riwayat Ibnu Majah, nombor 1779].

Adapun berkaitan cukai di dalam Negara Islam hanyalah dikenakan kepada bukan Islam sahaja dan kadarnya tidaklah melebihi 10 peratus. Di antara cukai yang diperkenalkan kepada bukan Islam di dalam Negara Islam ialah jizyah atau cukai individu, kharaj atau cukai tanah dan usyur atau cukai perdagangan.

Adpaun cukai atau dharibah hanya dikenakan kepada umat Islam sekiranya jumlah dana zakat yang berada di Baitulmal tidak mencukupi dan pada saat itu keperluan memenuhi maslahat umat sangat mendesak dan bersifat segera.

Jika sesebuah negara contohnya seperti Malaysia telah mewajibkan rakyatnya membayar cukai, maka sebagai warganegara Malaysia, maka kita wajib menunaikannya. Walaupun begitu, cukai yang dibayar tersebut masih belum dikira menghapuskan kewajipan zakat ke atas individu terbabit dan tanggungjawab zakat masih belum selesai. Umat Islam di negara kita perlu terlebih dahulu menunaikan zakat dan kemudian menyelaraskan bayaran zakat tersebut dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapat rebat cukai sebagaimana yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Alhamdulillah. Negara Malaysia memperuntukkan undang-undang yang meraikan para pembayar zakat dan kelonggaran cukai walaupun tidak banyak negara di dunia yang membuat peruntukan sedemikian. Di Malaysia menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) yang menyatakan :

Rebet hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat, fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayaran wajib, dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu, dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.

Ini bermaksud, semakin tinggi kadar zakat yang ditunaikan, maka begitulah juga rebat yang diberikan kepada pembayar zakat tersebut dari kenaan cukai pendapatan. Jika amaun zakat itu telah melebihi atau menyamai amaun cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya. Namun harus diingat, pembayaran zakat tersebut mestilah dilakukan dalam tahun semasa taksiran sebagaimana tahun semasa taksiran cukai. Misalnya, jika sesorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2012, maka rebat cukai oleh pihak LHDN akan diberikan berdasarkan bayaran yang dibuat pada atau sepanjang tahun taksiran 2012 sahaja berpandukan tarikh yang dicetak pada resit rasmi yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib. Ini berkaitan dengan pendapatan individu.

Walau bagaimanapun, rebat yang diizinkan oleh pihak kerajaan ke atas cukai perniagaan adalah berbeza. Sehingga ke hari ini pihak kerajaan hanya mengizinkan, mana-mana perniagaan muslim, sama ada berbentuk syarikat, koperasi mahu pun badan amanah, rebat ke atas cukai perniagaan yang dibenarkan hanyalah sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat (iaitu pendapatan statutori (yang tertakluk kepada undang-undang atau peraturan tertentu) daripada punca perniagaan setelah ditolak apa-apa kerugian perniagaan yang dibawa dari tahun sebelumnya dan ditambah lagi dengan pendapatan statutori daripada pelbagai punca lain (pada tahun semasa), meliputi pendapatan perniagaan, dividen, faedah atau royalti) dan bukannya berdasarkan jumlah zakat perniagaan yang telah ditunaikan pada tahun berkenaan.

Menurut pengisytiharan pihak kerajaan, rebat 2.5 peratus ke atas pendapatan agregat ini diberikan kepada pihak syarikat muslim yang membayar zakat bermula pada tahun 2005 dan bagi koperasi dan badan amanah pula, rebat diberikan bermula tahun 2007. Rebat yang diberikan untuk tahun taksiran cukai perniagaan itu pula, mestilah sama seperti mana tarikh pembayaran zakat yang telah dilakukan oleh pihak syarikat. Walau bagaimana pun, jika ada lebihan daripadanya, maka diberikan keizinan untuk dibawa ke tahunhadapan. [Lihat http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130104/ba_02/fahami-rebat-cukai]

Jadual : Perbezaan Antara Cukai dan Zakat

ZAKAT CUKAI
Konsep Zakat : Penyucian jiwa dan

harta serta tanggungjawab agama.

Konsep cukai : Dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat dan bersifat memberi tekanan dan bebanan.
Berdosa jika tidak ditunaikan dan dikira mengabaikan tanggungjawab kepada Allah. Tidak bayar cukai dikenakan denda oleh pemerintah
Bayar zakat tertakluk kepada individu muslim yang layak sahaja. Semua rakyat yang layak perlu membayar cukai
Zakat dikutip oleh kerajaan Islam sahaja Cukai boleh dikutip oleh sesiapa sahaja yang memerintah negara
Sumber zakat adalah dari sumber halal sahaja Sumber cukai adalah semua sumber yang diperolehi termasuk riba dan sumber yang haram.
Kadar zakat adalah tetap iaitu pada pemilikan harta melebihi 20 Mithqal / 85gm pada kadar kenaan zakat sebanyak 1/40 atau 2.5% tanpa mengira jumlah harta yang diperolehi. Dan kadar khas bagi sumber harta seperti ternakan dan tanaman pada kadar 1/20 (5 peratus), 1/10 (10 peratus) dan 1/5 (20 peratus). Kadar cukai boleh berubah mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan pada setiap tahun dan akan bertambah peratusannya mengikut pertambahan bilangan harta yang dimiliki.
Pengagihan zakat tertakluk kepada 8 golongan asnaf sahaja. Pentafsiran atau perluasan maksud asnaf boleh menerima perubahan mengikut keperluan semasa. Pengagihan cukai adalah untuk membiayai semua aktiviti pemerintah untuk keperluan rakyat secara umum.
Zakat adalah ibadah khusus (rukun Islam) Cukai tanggungjawab sosial dan kewajipan terhadap pemerintah.
Asas kewajipan adalah dari wahyu, nas dan dalil dari Al-Quran dan al-Sunnah Asas kewajipan adalah berdasarkan pemerintah, perundangan semasa yang berubah-ubah dan keperluan perbelanjaan negara.
Zakat dinilai dari harta semasa dan nilai harta yang ditaksir pada tahun (haul) zakat yang tetap setiap tahun. Nilai taksiran cukai adalah berdasarkan kepada kadar cukai yang ditetapkan dalam belanjawan negara yang berubah-ubah.

NGO, Pertubuhan Kebajikan Dan Zakat

Sebelum menjawab persoalan ini, seperkara yang harus difahami apakah diharuskan sesebuah pertubuhan kebajikan yang bersifat bukan kerajaan yang rata-ratanya beroperasi tidak bermotifkan keuntungan untuk menguruskan penerimaan zakat dan mengelolakan agihan zakat tersebut secara terus tanpa menerusi Baitulmal atau pihak berkuasa zakat negeri?

Ibn Munzir di dalam Al-Ijma’ menyatakan bahawasanya adalah menjadi ijma’ para ulama’ zakat itu dibayar kepada Rasulullah s.a.w, utusannya, para petugasnya dan kepada sesiapa yang diarahkan untuk dibayar kepadanya. Sebagaimana pandangan oleh Syaikh Ibn Uthaimain r.h.m bahawasanya mereka yang terdiri dari pertubuhan kebajikan juga termasuk dalam kebenaran untuk dibayar zakat kepada mereka dengan syarat mendapat keizinan daripada pihak kerajaan atau pemerintah untuk melakukan sedemikian. Jika pembayar menunaikan zakat menerusi pertubuhan ini maka dianggap telah terlepas tanggungjawab berzakat darinya.

Justeru, fenomena yang berlaku di negara kita termasuk dari kalangan pihak beberapa buah Perbankan Islam terkemuka negara menubuhkan jabatan khusus untuk mengelola agihan zakat adalah dilihat suatu perkembangan positif. Penambahbaikan yang perlu adalah semua pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan kebajikan ini perlu mendapat kebenaran ataupun pengesahan dan persetujuan rasmi dari pihak Baitulmal mahupun pihak berkuasa zakat agar kebsahan pengurusan zakat ini dapat dilaksanakan mengikut hukum syara’ dan tatakelola yang tersusun dan diperakui.

Namun begitu, pihak-pihak pertubuhan ini tidak berkuasa memaksa secara rasmi agar dibayar zakat atau diuruskan zakat menerusi pihak mereka. Mereka hanya dianggap wakil pihak pemerintah sahaja dalam aspek pengurusan namun bukan penguatkuasaan.

Justeru, sekiranya semua pertubuhan ini mendapat mandat dan keizinan rasmi dari pihak pemerintah, maka diharuskan membayar zakat dan mengagihkannya menerusi mereka.

Konsepnya secara mudah disebut sebagai Wakalah. Pihak pertubuhan kebajikan adalah dianggap wakil kepada para muzakki untuk menerima dan menguruskan agihan zakat bagi pihaknya. Pegangan mereka terhadap dana zakat ini dianggap pegangan yang sah dari sudut syara’ sebagai ganti (niabah) penerimaan sementara bagi pihak para fuqara’ dan masakin atau golongan asnaf penerima zakat.

Hal ini diperakui menerusi hadith Jabir r.a yang meriwayatkan tatkala beliau ingin keluar menuju Khaibar, Nabi s.a.w bersabda :

“Jika engkau bertemu dengan wakilku (penerima zakat bagi pihak muzakki), maka ambillah darinya 15 wasaq (zakat tanaman). Jika dia meminta sebarang bukti darimu, maka letakkanlah tanganmu ke pangkal halkumnya.” [hadith riwayat Abu Daud]

[Kitab al-Uqdhiyah bab fi alWakalah 3/314 no 3632, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra 6/80, al-Daruqutni dalam bab al-wakalah 4/154]

Berkata Ibn al-A’rabi dalam Ahkam al-Quran sebagai komentar beliau terhadap hadith ini bahawasanya dibolehkan wakil atau ganti (niabah) dalam mengambil wang zakat dan mengagihkannya.

Justeru, proses ini adalah serupa dalam kes-kes niabah atau wakalah dari satu pihak mewakili urusan dua pihak yang berakad seperti seorang individu mewakili urusan jual beli dari pihak penjual dan pembeli dalam hukum jual beli dan seumpamanya.

Masalah ini boleh dibahagikan kepada dua keadaan.

Pertama : Penanguhan tanpa sebarang uzur atau sebab.

Dalam hal ini, muzakki itu sendiri tidak boleh menangguhkan zakatnya begitu juga wakilnya dari kalangan pertubuhan kebajikan atau seumpamanya tanpa keuzuran.

Ibn Battal menyatakan sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syawkani dalam Nail al-Autar bahawasanya sesuatu kebajikan adalah mesti dilakukan degan segera kerana masalah dan halangan akan sentiasa wujud, kematian juga tidak mampu dielak dan penangguhan itu sesuatu yang tidak bersifat terpuji. Dengan menyegerakan penunaian zakat ianya lebih membebaskan seseorang dari tanggungjawabnya, menepati hajat keperluan, jauh dari sikap penagguhan yang tercela dan lebih diredhai oleh Allah Ta’ala serta cepat menghapuskan dosa.

Nabi s.a.w sendiri pernah bingkas bangun dari solat Asar lalu masuk kerumahnya dan keluar dengan segera lantas bersabda:

“Aku meninggalkan di dalam rumahku seketul emas (atau juga perak yang belum ditempa menjadi matawang dinar mahupun dirham) yang diberikan sebagai zakat. Aku benci untuk membiarkannya bermalam dirumahku lalu aku perlu mengagihkannya segera.” [Hadith riwayat al-Bukhari dalam Kitab al-Zakah. 1/442 no 1430]

Kedua : Penangguhan kerana sesuatu keuzuran atau sebab yang mendatang.

Diharuskan menagguhkan agihan kerana sesuatu maslahah muktabar atau sesuatu hajat mahupun keuzuran tertentu yang mendesak. Contohnya jika pihak pertubuhan kebajikan perlu mengkaji latarbelakang asnaf kerana dikhuatiri berlaku penipuan ataupun keadaan asnaf yang masih belum dijumpai atau permasalahan yang sewaktu dengannya.

Imam Nawawi r.h.m dalam Raudhah al-Talibin menyatakan bahawasanya mesti berlaku penegsahan terhadap keadaan penerima zakat. Jika berlaku sebarang syak mahupun keraguan terhadap status penerima, ditangguhkan pemberian dengan tujuan mengenalpasti dan membuat penyiasatan, maka diharuskan tanpa khilaf.

Begitu juga pandangan dari Syams al-Din Ibn Qudamah mengharuskan agihan tertangguh jika pemberian itu diberikan kepada yang lebih berhak menerimanya ataupun jumlah yang sedikit. Jika jumlahnya banyak, maka tidak dibolehkan berlaku penangguhan.

Dalam hal ini perlu kepada ketelitian dan diperhalusi keadaannya. Ini adalah untuk mengelakkan dari berlaku penyalahgunaan, pembaziran, ketirisan dan pengabaian hak yang sepatutnya diperolehi oleh pihak asnaf.

Jika pihak pertubuhan kebajikan atau seumpamanya mempunyai dana lain bagi kos pengurusan dan pengoperasian yang mencukupi keperluan pengoperasian mereka, maka pihak tersebut tidak boleh menggunakan sebahagian dana zakat untuk tujuan operasi samada kos pejabat, upah pekerja dan lain-lain. Misalnya sesebuah badan kebajikan atau seumpamanya yang mempunyai dana lain dari sumber seperti peruntukan CSR (Corporate Social Responsibility) misalnya atau dana-dana pelbagai guna yang lain, maka peruntukan ini menafikan keperluan penggunaan dana zakat untuk tujuan operasi.

Adapun jika tiada peruntukan khas dan dana hanya terhap kepada zakat yang diterima sahaja, maka diboleh kan penggunaan dari dana zakat tersebut namun dengan syarat yang ketat dan sekadar keperluan sahaja.

Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah :

  1. Hendaklah para petugas memiliki identiti dan bertugas seperti para amil yang rasmi dari aspek pengumpulan, penjagaan dan merekodkan wang zakat. Hal ini tidak termasuk para petugas yang tiada kaitan dengan kerja atau tugasan yang melibatkan pengurusan zakat.
  2. Kerja agihan mesti berlaku sepanjang tahun. Jika bermusim, maka dana zakat yang boleh diambil hanyalah mengikut musim kerja dan tempoh urusan agihan dibuat dan bukan diberi sepanjang tahun.
  3. Upah yang diberikan bukan bersifat seperti gaji tetap mahupun bertujuan bermewah. Ia hanya dikira dan diberi setimpal kerja yang dilakukanh.
  4. Para petugas, bilangan dan tenaga kerja bersesuaian dengan jumlah dana dan beban kerja sebenar.
  5. Dalam masa yang sama hendaklah pihak-pihak badan kebajikan ini berusaha mencari dana lain selain zakat untuk menampung perbelanjaan dan kos operasi seberapa segera yang mungkin. Ini bertujuan untuk melepaskan pergantungan terhadap dana zakat semata-mata dan inilah yang sewajarnya diusahakan dan dirancang oleh pengurusan badan-badan kebajikan. Pergantungan hanya kepada dana zakat semata-mata tanpa usaha mencari dana yang lain boleh dianggap sebagai satu ekploitasi secara tidak sihat terhadap dana zakat sekiranya diamalkan secara berterusan dan tiada usaha mengumpul dana sampingan.

Dinaskan daripada Al-Syafi’iyyah dan Al Malikiyyah bahawsanya perkara tersebut tidak dikategoerikan sebagai memindahkan zakat kepada negara luar dari negara kutipan zakat dilakukan.

Di dalam Hasyiah al-Dasuqi (1/500) dalam mensyarahkan maksud memindahkan dari tempat kewajipan zakat ditunaikan : “Walaupun diberikan (zakat) kepada si musafir yang berkelana itu tidaklah seperti memindahkannya ke negara yang lain…”

Begitu juga dalam I’anat al-Talibin (2/199) : “Adapun jika datang seorang dari bukan negara zakat ditunaikan, jika diberi kepadanya tidaklah dianggap memindahkan zakat tersebut ke negaranya. Bahkan sesiapa yang mendatangi sesebuah negara dan mendiaminya maka dia dianggap sebagahian dari ahli negara tersebut, samada tibanya sebelum tempoh haul atau sesudahnya.”

Hal ini sebagaimana yang pernah berlaku dalam kes Qabisah bin al-Mukhariq r.a yang pernah meminta agar diberi bahagian zakat untuk melunaskan hutangnya yang ditanggung atas dasar yang makruf. Lalu permintaannya dibenarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w walaupun dia dari kalangan penduduk Basrah dan bukan dari Madinah. [lihat hadith penuh dan huraiannya dalam Sahih Muslim, Kitab al-Zakat 2/722 no 1044 dan Syarah Muslim, Imam al-Nawawi dalam bab Man Tahillu lahu al-Masalah].

Untuk memahami persoalan ini terlebih dahulu kita perlu fahami corak atau bentuk perubahan yang berlaku dalam poin-poin berikut :

Pertama : Agihan dibuat selain daripada asnaf zakat yang lapan

Kedua : Perubahan bentuk agihan dari aspek :

  1. Jenis asnaf. Misalnya diamanahkan agar hanya diagihkan kepada fakir atau miskin tetapi diberikan kepada asnaf fi sabilillah atau gharimin.
  2. Perubahan dari aspek jenis. Misalnya diamanahkan untuk diberikan kepada ibu tunggal (kematian suami) yang miskin tetapi diagihkan kepada perempuan yang diceraikan ataupun anak yatim.
  3. Perubahan waktu. Misalnya diamanahkan agar diagihkan dalam masa seminggu tapi ditangguh sehingga sebulan atau lebih.
  4. Penukaran berlaku terhadap jumlah agihan. Misalnya diamanahkan untuk diberikan kepada sepuluh individu, tetapi ditukar kepada 20 orang. Ataupun, sejumlah yang diperuntukkan, namun diberikan kurang dari peruntukan tersebut kepada sebuah keluarga.

Bagi masalah ini dalam situasi pertama iaitu pemberian zakat kepada selain dari asnaf yang lapan, maka ianya tidak dibolehkan. Justeru, pihak NGO atau badan kebajikan tersebut perlu menjamin yakni menggantikan semula wang zakat yang telah diberikan kepada selain asnaf yang lapan. Hal ini sebagaimana yang termaktub di dalam al-Mabsut oleh alSarkhasi 14/61 dan al-Syirazi dalam Al-Muhazzab 1/354.

Adapun dalam kategori kedua iaitu dalam mengubah keinginan atau syarat ketetapan muzakki atau yang pemberi amanah, maka tidak boleh dilakukan sedemikian kecuali setelah merujuk kepada pemberi amanah tersebut terlebih dahulu. Jika diizinkan maka barulah boleh diubah bentuknya. Berkata Ibn Abd al-Barr : “Sesiapa yang diwakilkan oleh pihak tertentu dengan sesuatu urusan, maka tidak boleh diubah kepada yang lainnya.” [Lihat al-Kafi, Ibn Abd al-Barr, m/s 394]

Ini adalah kerana sesorang wakil tertakluk kepada kuasa yang diserahkan oleh pihak yang mewakilkannya. Maka tidak sewajarnya pihak yang diamanahkan itu mengubah sebarang ketentuan dari pihak yang mewakilkan seperti jika kehendak agihan agar diberikan kepada seseorang secara khusus misalnya kepada Ahmad, maka diserahkan kepada Abu misalnya. [lihat Wahbah al-Zuhaily, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 2/891]

Dalam masalah ini para ulama berbeza pandangan dalam keharusan melaburkan wang zakat sebelum agihan.

Pandangan pertama menyatakan adalah tidak dibolehkan melakukan pelaburan wang zakat. Ini merupakan pandangan Ahli Majlis Fatwa Arab Saudi [9/454], Majma’ Fiqh Islam India [persidangan ke-5 pada 19-22 Muharram 1422H], Ibn Uthaimain, Syaikh Taqi Uthmani, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dr. Muhammad Naim Yasin, Dr, Umar al-Asyqar   dan lain-lain.

Pandangan kedua pula mengharuskan pelaburan wang zakat dilakukan. Ini adalah berdasarkan ketetapan dari Majma’ Fiqh Islami yang menyatakan : “Diboleh kan apada permulaannya melaburkan wang zakat dalam projek pelaburan yang berakhir maksudnya dengan sampai agihannya kepada asnaf yang berhak ataupun kembali semula ke tangan pihak berwajib zakat setelah meneliti keperluan mendesak terutama berkaitan kepentingan segera asnaf dan setelah dipastikan jaminan yang mencukupi bagi mengelakkan berlakunya kelewatan atau kekurangan agihan untuk mengelakkan kerugian.” [lihat Majallah al-Majma’ al-Fiqh Al-Islami no (3) 1/335-406]

Ini juga dipersetujui oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi, Dr. Abd Aziz al-Khayyat, dr. Mustafa al-Zarqa’ dan Dr. Muhammad Uthman Syubair.

Namun begitu, pada pandangan penulis walaupun ada keharusannya, adalah lebih terjamin jika pihak NGO dan badan kebajikan ini tidak melaburkan wang zakat sebelum diagihkan kepada yang berhak. Ini adalah kerana risiko yang besar perlu ditanggung dan pihak NGO mahupun badan kebajikan ini hanyalah bertindak sebagai wakil agihan. Adapan pelaburan, jaminan dan seumpamanya lebih sesuai berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa zakat atau pihak yang berwajib. Itupun perlu dilihat sekiranya benar-benar wujud keperluan untuk pelaburan yang dipastikan risikonya mampu ditanggung dan tidak mengurangkan hak mahupun melewatkan agihan zakat sampai ke tangan asnaf. Wallahu a’alam.

Pertama, apabila ramai pihak yang tampil untuk membantu memudahkan urusan agama dan ibadat maka secara asasnya perlu dilihat positif. Namun, sesuatu yang dilakukan secara meluas, terbuka dan tanpa pengawasan akan berakhir dengan seuatu yang pastinya mendukacitakan. Kesilapan manusiawi dan kepincangan mungkin sahaja boleh berlaku. Namun bukanlah iu yang kita inginkan. Kita mahukan sesuatu yang bersifat terancang, mudah, efisyen dan telus serta mengikut peraturan dan pemantauan. Ini untuk memastikan kelancaran, akauntabiliti serta amanah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kehilangan, kecurian wag zakat atau agihan yang tidak menepati syarak.

Justeru, nasihat saya agar semua badan-badan kebajikan, institusi pengajian, pertubuhan bahkan parti politik sekalipun perlu berhubung secara rasmi dengan pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing bagi tujuan pengenalan dan pengesahan serta khidmat nasihat. Ia adalah lebih menepati maksud menunaiakan sesuatu ibadah dengan lebih bersistematik dan tersusun di sampig mengelakkan penipuan ataupun penyalahgunaan yang pada hari ini kita maklum sangat berleluasa di kalangan masyarakat.

Hukum Pindah Zakat Dan Membayar Ke Negara Lain

Para fuqaha’ antaranya dari kalangan Hanafiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan satu pandangan disisi Malikiyyah mengatakan ianya adalah tempat beradanya sesuatu harta tersebut terutama dari kalangan harta-harta yang zahir.

Al-Imam al-Nawawi menukilkan pandangan bahawasanya jika pemilik harta berada di sebuah tempat, namun hartanya di tempat atau negara yang lain, maka yang dikira ialah tempat harta tersebut berada.

Begitu juga al-Mawardi dalam Al-Insaf menyatakan jika pemiliknya berada di sebuah negara, dan hartanya di negara lain maka zakatnya dikeluarkan di negaranya (negara di mana harta tersebut disimpan) tanpa sebarang perselisihan pandangan.

Para ulama’ berbeza pandangan dalam isu ini. Secara umumnya pandangan ini terbahagi kepada dua poin utama :

Pertama : Memindahkan zakat tanpa hajat, keperluan atau sebab yang dibenarkan syariat

Kedua : Memindahkan zakat berdasarkan kepada hajat, keperluan atau sebab-sebab yang disyariatkan.

Bagi isu yang pertama iaitu memindahkan tanpa hajat, jumhur ulama’ mengatakan tidak boleh memindahkan zakat tanpa hajat kecuali para ulama’ Hanafiyyah yang mengatakan boleh namun hukumnya adalah makruh.

Bagi isu kedua pula iaitu memindahkan zakat dengan hajat atau alasan yang syari’e, maka para fuqaha’ telah bersepakat bahawasanya ia adalah dibolehkan dan harus khasnya dalam keadaan umat Islam yang lebih memerlukan, atau tiada keperluan di negara asal zakat ataupun jika punya lebihan harta zakat. Kesemua keadaan ini boleh dijadikan asas atau sebab yang syari’e untuk memindahkan dana zakat ke tempat lain yang lebih memerlukan atau terdesak.

Ini adalah inspirasi dari sebuah hadith sahih yng diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda :

“Manusia yang paling dikasihi Allah adalah manusia yang paling bermanfaat untuk yang lain. Sebaik-baik amalan di sisi Allah pula ialah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam jiwa saudaramu yang muslim, atau engkau mengangkat kesusahan dan kesulitan darinya, atau kemu melangsaikan hutangnya, ataupun menghilangkan perit laparnya. Sesungguhnya jika aku berjalan bersama saudara muslimku kerana menyempurnakan sesuatu hajat adalah lebih kusukai dari beriktikaf di Masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan. Barangsiapa yang menahan marahnya maka Allah Ta’ala akan menutup keaibannya. Barangsiapa yang mengawal kemarahannya walaupun mampu untuk melakukannya Allah akan memenuhkan di hatinya dengan keredhaan pada hari Kiamat. Barangsiapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya sehingga selesai, maka Allah akan menetapkan kakinya pada hari bergetarnya semua kaki-kaki manusia. Sesungguhnya keburukan akhlak akan menghapuskan segala amal kebajikan sebagaimana cuka merosakkan madu.”

[ Riwayat al-Tabarani dan Ibn Abi al-Dunya]

Inilah yang menjadi suatu amalan yang sentiasa dinantikan oleh para sahabat dan salaf al-Soleh. Mereka bukan sahaja sanggup mengorbankan harta, bahkan dalam masa yang sama sanggup menggadai jiwa dan nyawa dalam berjuang menuju keredhaan Allah.

Berjihad dengan harta ini juga diungkapkan sebagai ‘perdagangan’ dengan Allah Ta’ala sehingga Allah Ta’ala sendiri memuji dan menggunakan istilah ‘membeli’ dagangan orang mukmin yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah. FirmanNya dalam surah Al-Taubah ayat 111 :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka…”

Begitu juga Nabi s.a.w mengungkapkan bentuk-bentuk jihad yang dianjurkan sebagai satu pilihan yang luas untuk setiap umatnya melaburkan kemampuannya dalam berjihad. Sabda Nabi s.a.w :

“Berjihadlah kamu melawan orang-orang musyrik dengan tangan, lisan dan harta kalian”

[Riwayat Abu Daud, Al-Darimi, Ahmad, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan katanya sahih atas syarat Muslim]

Justeru, tidak syak lagi bahawasanya berjihad dengan harta ini adalah menjadi suatuperkara yang utama dan sangat dianjurkan dalam Islam.

Menurut fatwa terdahulu oleh bekas Mufti Arab Saudi Syaikh Abd Aziz bin Baz dan Fatwa terkini oleh Mufti Arab Saudi Syaikh Abdul Aziz Ali Syaikh sebagaimana dilaporkan oleh akhbar al-Arabiya.net pada tanggal 21 Ramadhan 1435H bersamaan 19 Julai 2014 yang lalu menyatakan bahawasanya adalah dibolehkan bahkan lebih perlu diutamakan untuk menghantar bantuan seperti infaq atau zakat ke bumi Ghazzah. Menurut beliau, ini adalah kerana penduduk Ghazzah dan seumpamanya sedang menghadapi tekanan peperangan,pembunuhan kejam serta pengeboman tempat tinggal dan rumah kediaman. Sekarang ini menyalurkan zakat ke Ghazzah adalah lebih utama dari yang lainnya. Mereka sangat berhajat kepada bantuan dan sumbangan serta sokongan dan dokongan umat Islam sedunia dalam membantu dalam semua aspek bantuan yang boleh disalurkan bagi membangun semula wilayah Ghazzah yang teruk dibedil musuh.

Begitu juga pandangan yang dikemukakan oleh panel fatwa di Markaz al-Fatwa Islamweb.net [lihat http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=117494] yang telah dikeluarkan sejak tahun 2009 lagi tentang keharusan menghantar bantuan zakat ke Ghazzah dalam apa jua bentuk sekalipun samada bantuan berupa kewanngan, makanan, pakaian, ubatan dan lain-lain keperluan utama. Ini berdasarkan pandangan oleh Imam Ibn Taymiyyah yang menyatakan zakat boleh dikeluarkan dalam bentuk nilaian seseuatu yang sama dengan jumlah zakat yang ingin dikeluarkan sekiranya dilihat lebih bermanfaat dan melunaskan hajat dan tidak semetinya dalam bentuk harta zakat yang asal.

Zakat boleh disalurkan terus ke Ghazzah ataupun kepada badan-badan sukarela secara rasmi ataupun badan-badan kebajikan yang diyakini amanah mereka dalam menguruskan bantuan. Sebagai panduan tambahan, pemberi zakat hendaklah memaklumkan bantuan yang diberikan tersebut adalah bersifat zakat bagi membezakan antara infaq dan sedekah yang biasa supaya pengurusan, agihan dn kelolaan wang atau bantuan tersebut diuruskan secara tepat mengikut kaedah pengurusan harta zakat.

Syaikh Hamid bin Abdullah al-‘Ali, pensyarah Pengajian Islam di Kolej Pendidikan Asas di Kuwait  menyatakan bahawasanya menunaiakan zakat kepada saudara muslim di Ghazzah menepati sifat asnaf penerima zakat mengikut landasan syariat. Mereka bukan sahaja dianggap sebagai fakir dan miskin kerana kehilangan nyawa dan harta benda bahkan termasuk dalam asnaf fi sabilillah yang berjuang mempertahankan kedaulatan Islam dan Negara serta tempat tinggal mereka serta kedudukan mereka yang melawan pihak musuh dari kalangan Zionis dan Rejim kekejaman Israel laknatullah.

Kisah Masyhur Tapi Palsu Dalam Bab Zakat

Masyhur di kalangan para penceramah dan pendakwah darihal kisah Tha’labah bin Hatib r.a yang dikatakan seorang yang enggan membayar zakat lalu dihukumkan sebagai munafik. Beliau pernah meminta kepada nabi SAW agar mendoakannya supaya Allah SWT menambahkan lagi rezekinya. Seusai nabi s.a.w berdoa untuknya maka beliau dikurniakan dengan kambing yang beranak pinak seumpama tumbuhnya ulat sehingga dikatakan kota Madinah hampir sesak dan terasa sempit untuknya. Lantas, kekayaan itu  menyebabkan Tha’labah tinggal berjauhan di desa dan mula sedikit demi sedikit meninggalkan solat berjemaah bahkan solat Jumaat dek kerana kesibukannya. Tiba masanya Nabi s.a.w mengutus utusan bagi mengutip zakat dari Tha’abah dan Bani Sulaiman. Malangnya, dikatakan Tha’albah menolak dari memberi zakat kepada utusan Baginda s.a.w. Setelah baginda s.a.w mendapati utusan pulang dengan tangan kosong lantas, Baginda Nabi s.a.w bersabda :

“Celaka engkau wahai Tha’labah! Sedikit yang engkau syukuri itu lebih baik dari harta banyak yang engkau tidak sanggup mensyukurinya. Apakah engkau tidak suka menjadi seperti Nabi Allah? Demi yang diriku di tangan-Nya, seandainya aku mau gunung-gunung mengalirkan perak dan emas, niscaya akan mengalir untukku” [Riwayat Ibnu Jarir dalam Jami’ul Bayaan (VI/425 no. 17002), ath-Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabir (VIII/218-219, no. 7873), ad-Dailamy, Ibnu Hazm dalam al-Muhalla (XI/208) dan al-Wahidi dalam Asbaabun Nuzul (hal. 257-259)]

Walaubagaimanapun dia telah bertaubat akhirnya, tetapi Nabi s.a.w tetap tidak mahu menerima zakatnya. Pada zaman Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman r.anhum juga tidak mahu menerima zakatnya kerana nabi SAW tidak menerimanya dahulu. Ini dikeranakan kisah ini dikaitkan dengan turunnya firman Allah SWT daripada surah at-Taubah ayat 75-76 bermaksud:

“Ada di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).”

Setelah ditelilti Tsa’labah bin Hatib adalah salah seorang sahabat Nabi s.a.w yang ikut serta dalam perang Badar sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab ats-Tsiqaat (III/36), Ibnu ‘Abdil Barr dalam kitab al-Istii’ab (hal. 122). Al-Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (I/198) mengulas Tha’labah bin Hatib adalah dari kalangan yang ikut (hadir) dalam perang Badar.

Rasulullah s.a.w sendiri bersabda tentang ahli Badar:

“Tidak akan masuk Neraka seseorang yang ikut serta dalam perang Badar dan perjanjian Hudaibiyah.” [HR. Ahmad (III/396), Al-Albani dalam Silsilat al-Ahadith al-Shahihah (no. 2160)]

Sabda Nabi s.a.w lainnya :

“ALLAH melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman:  “Buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua”  [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kesimpulan kisah Tha’labah ini sebagaimana kata Al-Imam al-Qurthuby (wafat th. 671 H): “Tsa’labah adalah badri (orang yang ikut perang Badar), seorang Ansar, sahabat yang Allah dan Rasul-Nya saksikan tentang keimanannya seperti yang akan datang penjelasannya di awal surat al-Mumtahanah, adapun yang diriwayatkan tentang dia (tidak membayar zakat) adalah riwayat yang TIDAK SAHIH. [Tafsir al-Qurthubi (VIII/133), cet. Darul Kutub al-‘Ilmiyyah]

Selain itu ramai para ulama’ yang mendhaifkan bahkan melemahkan riwayat kisah Tha’alabah ini antaranya Ibn Hazm dengan katanya riwayat ini batil, Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan riwayat ini dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah.

Justeru, sesudah kita mengetahui kelemahan dan kebatilan riwayat tersebut, maka tidak halal bagi seorang muslim pun untuk membawakan riwayat Tha’labah sebagai contoh kebakhilan atau keengkaran kerana implikasinya amatlah berat disebabkan kita mengatakan sesuatu yang tidak benar atas diri seorang sahabat Nabi s.a.w yang turut dijanjikan Syurga buatnya dan paling berat sekali kita dianggap berdusta atas nama Rasul s.a.w. Na’uzubillah.

Terdapat sebuah hadith yang mengisahkan tentang zakat setiap perkara. Hadith tersebut berbunyi :

“Setiap sesuatu itu ada zakatnya. Maka zakat bagi rumah adalah pada ruang tamunya.”

Hadith ini bertaraf maudhu’ (palsu) atau disebut juga dengan kalimah fabrikasi. Al-Imam al-Suyuti berkata riwayat ini telah diketegorikan oleh Abu Said al-Naqqasy dalam senarai hadith-hadith maudhu’ dan beliau berkata bahawasanya Imam Ahmad atau gurunya telah berkata riwayat hadith ini adalah palsu.

Begitu juga terdapat hadith yang lain berstatus dhaif.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah s.a.w bersabda :

“Segala sesuatu itu ada zakatnya. Zakat badan adalah puasa. Puasa itu separuh kesabaran.” [Riwayat Ibnu Majah, no. 1745 melalui Musa bin Ubaidah dari Jumhan]

Sanad hadith ini lemah, kerana Musa bin Ubaidah dinilai hadith lemah oleh sekelompok ulama ahli hadith, sebagaimana dijelaskan dalam kitab Tahzib, [10/318-320] dan dikatakan beliau ini seorang yang soleh dan ahli ibadah, akan tetapi lemah dalam periwayatan hadith.

Tidak ada kisah terbaik melainkan semua yang telah dicerityakan oleh Allah Ta’a’la di dalam al-Quran. Syaikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi rahimahullah berkata dalam muqaddimah penulisan beliau tentang kisah kisah di dalam al-Quran bahawasanya Allah Ta’ala telah menceritakan kepada kita tentang kisah-kisah yang terbaik dan penuh tauladan dalam bahasa yang sangat indah dan mengkagumkan. Mengapa kita tidak sudi membacanya dari Tuhan lantas menceritakannya pula dengan bahasa Tuhan?

Kisah terbaik buat tauladan mereka yang mengengkari Allah dengan harta boleh dilihat menerusi kisah manusia terkenal sepanjang zaman yang dikenali sebagai Qarun. Ramai yang hanya tahu Qarun ini popular dengan hartanya namun akhirnya hartanya itu ditenggelami bumi dek kerana kemegahannya terhadap dirinya dan keangkuhannya dari mentaati perintah Allah.

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Qasas ayat 76-83 :

“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: ‘Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri’. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni`matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.” Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang mengkehendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu! Pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar.” Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). Lantas jadilah mereka yang dahulunya mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata: “Aduhai! Benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya dan menyempitkannya. Jika Allah tidak melimpahkan kurniaanNya ke atas kita maka Dia sesungguhnya telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah).” Sesungguhnya negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Siapakah Yang Berhak Diberikan Zakat?

Zakat merupakan salah satu dari rukun-rukun Islam yang lima. Sesiapa yang meninggalkannya secara sengaja dengan mengetahui kewajipannya, maka wajiblah kita memperingati dan menasihatinya agar segera bertaubat. Sekiranya dia masih kekal dalam keadaan engkar, maka dia dianggap telah kufur dengan perbuatannya itu. Jika hal ini berlaku, maka tidak harus  kita solat akan jenazahnya dan tidak pula ditanam di tanah perkuburan orang-orang Islam. Tetapi sekiranya dia meninggalkan kewajipan zakat kerana kebakhilan dalam pada masa yang sama dia mengakui dan mengetahui kewajipan berzakat, dia dianggap melakukan maksiat yang besar dan dikira fasiq tetapi tidak jatuh kafir. Jenazahnya berhak dimandikan, disolatkan dan ditanam di perkuburan orang Islam sekiranya dia mati dalam keadaan tersebut. Urusan akhiratnya adalah dalam tangan Allah Ta’ala.

Fatwa al-Lajnah al-Daimah no 6147

Allah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 60 :

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

Skop agihan dan pemberian zakat adalah berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Ia mempunyai 8 asnaf zakat iaitu:

  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Amil
  4. Muallaf
  5. Gharimin (Berhutang)
  6. Al-Riqab (Belenggu)
  7. Ibn Sabil
  8. Fi Sabilillah

Asasnya penunaian ibadah zakat ini terdiri dari dua konsep yang mesti dipenuhi. Pertama, iaitu aspek Qadha’an (Penunaian zakat mengikut perundangan) dan kedua, Diyanatan (penunaian zakat mengikut ketetapan tanggung jawab beragama). Sekiranya seseorang itu membayar zakat kepada pihak pemerintah menerusi baitulmal, para amil dan mereka yang diberi kuasa mengutip zakat, maka dia telah menyempurnakan kedua-dua aspek tersebut. Akan tetapi jika dia membayar terus secara langsung kepada asnaf zakat, maka dia telah menyempurnakan tanggungjawabnya dalam urusan agama namun aspek tanggungjawabnya kepada pemerintah tidak dipenuhi. Zakatnya tetap sah namun kesempurnaannya apabila dibayar secara bersistem kepada pemerintah. Nasihat saya, jika mahu membayar terus kepada asnaf, hanya sebahagian dari jumlah zakat keseluruhan kita salurkan terus. Selebihnya serahkanlah ia kepada pihak berwajib demi memelihara maslahat yang lebih umum dan menyeluruh terutama dari aspek agihan zakat. Wallahu a’alam.

Seperkara yang sering menjadi persoalan khasnya di kalangan pembayar zakat adalah mengenai keharusan membayar zakat kepada keluarga terdekat terutama ibu bapa atau anak sendiri. Menurut fatwa oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, bahawasanya zakat tidak boleh dibayar atau diniatkan untuk diberikan kepada golongan-golongan berikut dari kalangan ahli keluarga :

Pertama: Al-Usul  – Terdiri dari golongan Ayah, Ibu, Datuk, Nenek dan ke atas samada lelaki atau perempuan sebagaimana dalam kategori ilmu Faraidh.

Kedua: Al-Furu’ – Terdiri dari golongan anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan dan ke bawah sebagaimana dalam kategori ilmu Faraidh.

Ketiga: Suami kepada isteri.

Mereka ini tidak boleh diberikan sesuatu pemberian dengan niat membayar zakat harta kerana mereka adalah dalam kategori yang wajib diberi nafkah. Justeru, jika diniatkan zakat, maka akan terbatal niat tersebut kerana yang wajib ke atas mereka adalah nafkah dan bukannya zakat walaupun termasuk dalam kategori asnaf yang berhak menerima zakat.

Akan tetapi sekiranya asnaf itu terdiri dari kalangan adik-beradik, bapa atau ibu saudara, sepupu, ipar duai dan seumpamanya ataupun dari seorang isteri kepada suaminya, maka mereka boleh menerima zakat daripada kita kerana bukan dari kategori yang berhak diberi nafkah wajib. Demikianlah, wallahua’lam.

Nisab Zakat

Nilai minima harta yang melayakkan seseorang itu berzakat dikenali sebagai nisab. Islam tidak semata-mata mengenakan zakat ke atas semua harta yang mempunyai sifat al-nama’ (pengembangan) secara mutlak walaupun harta tersebut dilihat banyak. Bahkan, islam meletakkan beberapa syarat kepada harta tersebut iaitu jika ia sampai kepada suatu had yang dinamakan nisab dalam penggunaan fiqh. Dalam isu melibatkan zakat harta seperti wang simpanan dan seumpamanya yang bukan dari sumber pertanian ataupun ternakan, nisab zakat adalah didasarkan kepada harga berat 20 mithqal emas atau dalam kiraan metrik terkini sebanyak 85 gram emas semasa. ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w daripada Saidina Ali r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda :

“Tidak diwajibkan bagi kamu sesuatupun ke atas emas sehinggalah kamu memiliki dua puluh dinar. Jika kamu memiliki dua puluh dinar dan ia genap setahun dalam simpananmu, maka wajib ke atasmu zakatnya sebanyak setengah dinar. Adapun yang lebih dari itu hendaklah ditaksir berdasarkan kiraan yang tersebut dan dikeluarkan zakatnya.” [Hadith riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud dengan darjat Hasan]

20 dinar dalam hadith ini adalah bersamaan 20 mithqal yang bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.  Secara umumnya nilai nisab dalam kiraan Ringgit Malaysia adalah sebanyak RM 13,113 [rujuk www.zakat.com.my]. Justeru barangsiapa yang telah memiliki jumlah harta yang sampai ke paras nisab atau lebih, maka diwajibkan baginya untuk mengeluarkan zakat dari keseluruhan jumlah harta yang dimiliki tersebut dengan kadar sebanyak 1/40 atau 2.5% darinya. Adapun syarat sampingan bagi harta tersebut ialah mesti mencukupi haul iaitu genap tempoh setahun berdasarkan kiraan tahun qamariyyah (kalender Islam) berada dalam pemilikan seseorang.

Zakat Kepada Penganggur

Situasi ekonomi dan uruf masyarakat berkait rapat dengan kriteria kebolehpenerimaan zakat atau tidak. Hal ini secara tidak langsung dibincangkan para fuqaha’ dalam masalah berkaitan agihan kepada fakir dan miskin dan kaitan dengan kemampuan melaksanakan pekerjaan.

Secara umumnya konteks ini difahami menerusi hadith Nabi s.a.w riwayat Ibn Majah :

“Tidak halal sedekah (zakat) bagi orang kaya dan tidak juga bagi orang yang masih sasa dan sempurna tubuh badannya (mampu bekerja)”

Jumhur ulama’ menyatakan secara umumnya berdasarkan nas di atas, mereka yang mempunyai keupayaan bekerja tidak layak menerima zakat. Namun, Al-Imam al-Nawawi menjelaskan lebih lanjut sebagaimana di dalam al-Majmu’ bahawasanya jika seseorang itu masih mampu bekerja untuk mencari pendapatan dan kemampuannya itu dianggap cukup bagi tujuan tersebut, maka dia tidak termasuk dalam konteks seorang yang miskin yang layak menerima zakat walaupn secara zahirnya dia tidak memiliki apa-apa harta. Akan tetapi Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dalam konteks tidak memiliki pekerjaan dan kondisi tidak berharta ini bukan hanya sekadar tidak memiliki pekerjaan atau sekadar semata-mata tidak mampu bekerja, tetapi termasuk juga mereka yang tidak mempunyai pekerjaan yang sesuai dengan keadaan atau maruahnya sendiri.

Secara keseimpulannya, untuk memberi zakat kepada golongan penganggur ataupun mereka yang hilang pekerjaan ini perlu kepada penialaian yang bersifat menyeluruh dan terperinci berdasarkan kes dan situasi masyarakat yang berbeza.

Dalam hal ini Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menukilkan secara agak terperinci kriteria seseorang yang dianggap mampu bekerja dan tidak boleh memperolehi bahagian zakat yang diperuntukkan dalam kategori fakir atau miskin.

Kriteria tersebut adaah :

  1. Punya pekerjaan yang boleh menampung sara hidup (seharian)
  2. Kerja yang dilakukan adalah halal di sisi syarak
  • Pekerjaan yang dilakukan tersebut tidak bermasalah dan tiada halangan yang luar biasa dari ianya dilaksanakan.
  1. Kerja tersebut mestilah juga sesuai dengan keadaan, kedudukan, maruah mahupun status sosialnya.
  2. Pendapatan yang diperolehi dari pekerjaan itu cukup untuk membiayai diri dan keluarganya.

Justeru, kriteria ini boleh dijadikan panduan alam kita mengusahakan bantuan ataupun menyalurkan zakat meskipun penerima itu mempunyai kesihatan tubuh badan dan ada pekerjaan. Di Wilayah Persekutuan, pihak Baitulmal akan membuat pemeriksaan dan penilaian berdasarkan had al-kifayah (had kecukupan perbelanjaan) dan situsai semasa pemohon zakat dan beberapa aspek lain yang dipertimbangkan.

Memberi zakat tidak semudah hanya menabur dan memberi secara semberono. Pemberian bukan soal jumlah semata-mata. Ia turut melibatkan kebolehupayaan mengurus harta, status sosial, keadaan kendiri dan beberapa aspek lain yang turut dibincangkan dalam fiqh.

Antara beberapa pandangan yang boleh dikongsi misalnya Ibn Humam di dalam Fath ql-Qadir (2/278) menyatakan bahawasanya makruh diberikan zakat kepada fakir miskin lebih dari 200 dirham seorang secara individu walaupun sah jika diberikan lebih meskipun Zufar menyatakan haram hukumnya. Maknanya dalam mazhab Hanafi dilihat had maksima adalah sebanyak 200 dirham. Asas yang dipakai adalah kerana jumlah tersebut pada masa itu telah mencapai kadar nisab. Maka seseiaa yang memiliki nisab sudah dianggap tidak lagi miskin.

Manakala pandangan dan Ibn Hazm pula menyatakan kadar maksimum yang boleh diberikan adalah sekitar yang cukup untuk belanja sehari sekitar 40 atau 50 dirham. Ini adalah berdasarkan beberapa hadith dan athar antaranya :

Hadith A’ta bin Yassar daripada seorang lelaki dari Bani Asad yang mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang meminta sedangkan dia mempunyai satu uqiah atau seharga dengannya sesungguhnya dia telah meminta secara ilhaf (mencari masalah).”

Nilai satu uqiah ini sebagaimana disebut dalam hadith riwayat Abu Daud [lihat Sunan Abi Daud, 1/512] ialah sebanyak 40 dirham yang dinilai pada zaman Rasulullah s.a.w.

Adapun nilai 50 dirham yang diberi sebagai kadar maksimum ialah berpandukan riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a yang menyatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :

“Sesiapa yang meminta sedangkan dia mempunyai sesuatu yang cukup baginya, akan atang pada hari kiamat nanti dengan calar balar di mukanya. Lalu Nabi s.a.w ditanya : Apakah ukuran (nilai) seorang itu dianggap kaya? Nabi s.a.w menjawab : Lima puluh dirham atau yang memiliki emas yang senilai dengannya.”

Kesimpulannya hadith dan athar yang disebutkan bukanlah bersifat sebagai ata putus terhadap kadar maksima atau kadar yang boleh diterima oleh fakir miskin atau mereka yang layak menerima zakat. Ia adalah panduan dan sandaran untuk kita menyelidik dan mengkaji seterusnya membuat perbandingan dan mengukur relativiti kadar bantuan dengan situasi semasa dan kedudukan kewangan dan realiti ekonomi pada hari ini.  Apapun, zakat tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya tanpa garis panduan dan peraturan tertentu.

Antara panduan yang diberikan para fuqaha adalah beberapa dimensi agihan yang dirumuskan seperti berikut :

  1. Diberikan bantuan secara harian yang mencukupi perbelanjaan seharian (Ibn Hazm)
  2. Bantuan bersifat berkala dan berulang-ulang seperti bantuan bersifat bulanan (Saidina Umar al-Khattab)
  3. Agihan yang mencukupi keperluan diri dan keluarga selama setahun samada bantuan memenuhi nisab atau lebih (Majoriti para ulama’)
  1. Agihan yang menjadikan penerima terus memiliki kekayaan dan keluar dari belenggu kemiskinan sepanjang hayatnya (Imam al-Nawawi)

Namun begitu, pandangan yang dikemukakan oleh al-Imam al-Nawawi itu dijelaskan dengan melihat kepada keperluan yang sesuai dengan kondisi penerima itu sendiri samada mampu menguruskan harta atau tidak, status kelimuan, kemahiran dan lain-lain aspek penilaian bagi melayakkan penerimaan dalam jumlah yang memenuhi keperluan yang mengeluarkan mereka dari status kemiskinan.