Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya. Ia juga termasuk setiap aktiviti yang berkaitan perniagaan bersifat sederhana atau kecil mahupun bermusim seperti makanan, peruncitan, semua jenis jualan langsung ataupun bersistem yang patuh syariah, peniaga jalanan dan lain-lain.
Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 267
?Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.?
Berdasarkan umum ayat ini hasil usaha dari kegiatan perniagaan adalah merupakan sebahagian dari hasil usaha yang baik-baik.
Secara khususnya pula kita melihat kepada hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a bahawasanya :
“Nabi s.a.w memerintahkan kami untuk mengeluarkan sadaqah (zakat) dari harta benda yang kami siapkan untuk dijual (diperdagangkan).”
[Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi]
Syarikat atau entiti perniagaan adalah diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat seperti berikut:
- Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam.
- Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang Merdeka.
- Sempurna milik.
- Cukup nisab.
- Cukup haul ( genap setahun qamariah/ 354.3 hari)
- Kadar zakat ke atas syarikat tersebut adalah 2.5%.
- Syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang ditaksir setelah dibuat pelarasan dan penolakan item-item terbabit.
Asas kiraan zakat perniagaan bagi syarikat-syarikat perniagaan khasnya yang memiliki akaun dan penyata kewangan atau kunci kira-kira yang lengkap terbahagi kepada dua kaedah utama :
Pertama : Kaedah Model Berkembang ?Growth Model?
Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih ringkas ialah Modal dicampur dengan Keuntungan.
Formula yang digunakan adalah :
[Ekuti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Separuh Tetap]* x % Pemilikan Saham Muslim x 2.5%
Kaedah atau pendekatan ini sesuai bagi Institusi Kewangan Islam atau Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad yang tidak mengkelaskan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.
Kedua : Kaedah Modal Kerja ?Working Capital?
Ia mengambil kira kedudukan Harta Semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat samaada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.
Formula yang digunakan ialah :
[Aset Semasa – Liabiliti Semasa]* X %Pemilikan Saham Muslim X 2.5%
Kaedah ini biasanya sesuai digunakan bagi syarikat-syarikat seperti syarikat Berhad, Sdn. Bhd., Koperasi, Perniagaan, Perusahaan dan sebagainya dimana terdapat pengkelasan aset semasa dan liabiliti semasa
Bagi pemilik perniagaan seperti yang disebutkan di atas, zakat akan ditaksir dengan mengambil kira semua hasil, jualan, perolehan dan dikumpulkan dan dikira jumlahnya. Kemudian senarai kos, perbelanjaan, tanggungan terlibat, pengoperasian seperti sewa dan bil-bil utiliti misalnya hendaklah ditolak dari jumlah jualan kasar yang dibuat. Bakinya (untung bersih) yang melebihi nisab akan dikenakan zakat sebanyak 2.5%.
Secara mudahnya, kaedah pengiraan ini ditaksir dari keuntungan bersih yang diperolehi setelah ditolak segala kos dan perbelanjaan berkaitan.
5. Benarkah pemilik syarikat boleh mendapat rebat cukai setelah membuat pembayaran zakat perniagaan?
Peniaga atau pihak syarikat seperti Sdn Bhd, Berhad dan seumpamanya boleh menikmati rebat cukai korporat atau lebih tepat dinamakan potongan cukai ke atas zakat perniagaan yang dibayar adalah tertakluk kepada had maksima 2.5% daripada pendapatan agregat syarikat tersebut (yang tidak mengambil kira cukai, inflasi, hutang piutang dan sebagainya).
Bagi Syarikat Luar Pesisir Labuan (Offshore) rebat cukai tertakluk kepada had maksima 3% bagi keuntungan bersih.
Adapun perniagaan yang bersifat milikan individu seperti penaiaga runcit, restoran, perkhidmatan dan sebagainya maka mereka boleh menikmati rebat penuh cukai atas semua jumlah zakat yang dibayar.