Zakat Pertanian

Tanah adalah salah satu nikmat terbesar yang diciptakan oleh Allah SWT. Tanah diamanahkan kepada umat manusia untuk menjadikannya subur serta menghasilkan tanam-tanaman dan buah-buahan. Sesungguhnya semua tanaman dan buah-buahan yang tumbuh di atas muka bumi ini merupakan kurniaan Allah SWT, dan bukannya datang dari manusia. Maka apabila Allah mengarahkan manusia untuk menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang telah diberikan, maka sudah tentulah umat Islam yang beriman menunaikannya dengan mengeluarkan zakat dari sebahagian dari hasil tanam-tanaman mereka.

DALIL ZAKAT PERTANIAN

Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan secara terang dan jelas dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” [Surah Al-An’am (6): 141]

Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang bermaksud:

Dari Salim bin Abdullah dari bapanya RA dari Nabi SAW bersabda: “Pada tanaman yang diairi dengan air hujan, mata air, atau air tanah maka zakatnya sepersepuluh (10%), adapun yang diairi dengan menggunakan tenaga maka zakatnya seperduapuluh (5%)” (HR Bukhari)

HASIL-HASIL PERTANIAN YANG DIWAJIBKAN ZAKAT

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi, beliau telah menjelaskan bahawa semua jenis tanaman diwajibkan zakat. Ini menurut pegangan dan pendapat oleh Imam Abu Hanifah yang bersumber dari penegasan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Mujtahid, Hamad, Daud, dan al-Nakha’i. Hal ini berpandukan landasan bahawa:

  1. Prinsip umum firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat [2]: 267 (yang bermaksud): “…dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
  2. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” [Surah Al-An’am (6): 141].
  3. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): “Pada tanaman yang diairi dengan air hujan, mata air, atau air tanah maka zakatnya sepersepuluh (10%), adapun yang diairi dengan menggunakan tenaga maka zakatnya seperduapuluh (5%)”, tanpa membezakan tanaman asasi mahupun yang bukan.

NISAB DAN HAUL ZAKAT PERTANIAN

Jumhur ulama berpendapat bahawa tanaman sama sekali tidak diwajibkan zakat sehingga sampai jumlah lima bebanan unta (5 wasaq) berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Dan tidak ada zakat pada kurang daripada lima Awsuq (bersamaan 363 gantang Malaysia)” [Hadis oleh Abu Said Al-Khudri, HR Bukhari].

Hadis ini disepakati sebagai sahih.

Berbanding jenis-jenis harta lain yang dikenakan zakat, zakat pertanian dikecualikan daripada ketetapan haul kerana hasil pertanian dikutip apabila tiba waktu menuainya sahaja, berdasarkan firman Allah SWT:

“Dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” [Surah Al-An’am (6): 141]

Justeru nisab Zakat Pertanian ialah 5 Awsuq (bersamaan 363 gantang Malaysia), dan kewajipannya tanpa perlu menunggu setahun (haul).

KADAR DAN PENGIRAAN ZAKAT PERTANIAN

Tanam-tanaman yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada cara-cara penghasilnya. Tanaman yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20. Manakala  tanaman yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau hidup dengan aliran sungai atau parit maka kadar zakatnya ialah 10% atau 1/10. Kaedah ini bersumberkan hadis sarih riwayat Jabir RA:

“Yang dijirus oleh sungai dan hujan 10 peratus dan dijirus dengan unta 5 peratus.” (HR Muslim)

Manakala bagi tanam-tanaman yang mengunakan kedua-dua cara di atas maka telah ditetapkan kadar alternatif sebanyak 7.5%

*Pilihan diberikan kepada pengusaha untuk mengira sama ada menggunakan kaedah Zakat Pertanian ataupun kaedah Zakat Perniagaan. Kebiasaannya hanya makanan asasi sahaja yang dikira mengikut kaedah Zakat Pertanian. Manakala bagi tanam-tanaman yang lain akan dikira mengikut kaedah Zakat Perniagaan. Hal ini kerana tanaman tersebut diusahakan dengan jumlah yang banyak serta dipelbagaikan dengan usaha yang lain dan selalunya diniagakan dalam pelbagai industri perniagaan.

 

Kira Zakat Perniagaan

kalkulatorzakat