Zakat Perak

Logam perak (silver) merupakan logam yang berharga dan berguna. Pada masa dahulu, perak telah digunakan sebagai alat tukaran (wang) dalam urusan jual beli. Masyarakat arab menggunakan logam perak (dirham) sebagai medium matawang utama disamping emas (dinar) dalam sistem ekonomi mereka.

Walaupun kegunaan perak pada zaman moden telah berubah berbanding zaman dahulu, namun fizikalnya yang masih kekal sebagai alat simpanan nilai dan simbol kekayaan seseorang. Justeru kewajipan syariat zakat ke atas perak kekal termaktub dan seharusnya ditunaikan oleh orang Islam apabila memenuhi syarat-syaratnya. Zakat yang dikenakan ke atas perak termasuklah yang berbentuk :

  • Syiling perak
  • Jongkong perak
  • Perkakasan dibuat daripada perak
  • Barang perhiasan dibuat daripada perak
  • Barang kemas perak dan sebagainya

DALIL ZAKAT PERAK

Allah SWT telah mewajibkan zakat ke atas perak melalui ayat dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu” [Surah At-Taubah(9): 34-35]

NISAB DAN HAUL ZAKAT PERAK

Nisab dan haul dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan oleh Abu Sa`id Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada zakat pada kurang dari lima ekor unta, tidak ada zakat pada yang kurang dari lima uqiyah (perak) (5 uqiyah = 200 dirham), dan tidak ada zakat pada yang kurang dari lima awsuq (gandum).” (HR Bukhari)

Hadis Rasulullah SAW iaitu yang bermaksud: Diriwayatkan dari Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memperolehi kekayaan, maka tidak ada zakat padanya sehingga Haul telah berlalu semasa ia sedang miliknya.” (HR Tirmizi)

Berpandukan hadis yang pertama, nisab zakat perak ialah 200 dirham. Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi, fuqaha telah bersetuju bahawa 200 dirham adalah bersamaan 595 gram. Logam perak yang ditempa kepada bentuk-bentuk lain seperti perkakasan, barang perhiasan, barang kemas tetap bersandarkan beratnya setelah pemilikannya melebihi nisab 595 gram. Manakala hadis kedua telah menjelaskan ketetapan haul didalam zakat perak.

KADAR DAN PENGIRAAN ZAKAT PERAK

Kadar pengiraan zakat perak ialah 2.5%, diselarikan dengan hadis berikut (yang bermaksud):

Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham (2.5%)…”(HR Abu Daud)

Perak perlu dinilai dalam bentuk matawang bagi memudahkan pengiraan. Sebagai contoh, sekiranya jumlah pemilikan perak dalam tempoh setahun ialah 1000 gram (melebihi nisab) maka:

Zakat Perak   

= Timbangan Perak x Nilai Perak x 2.5%

= 1000 gm x RM1.97 (contoh) x 2.5%

= RM 49.25

Kira Zakat 

kalkulatorzakat