Zakat KWSP

Kira Zakat KWSP

kalkulatorzakat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan. Di bawah akta KWSP, semua rakyat Malaysia yang bekerja diwajibkan untuk mencarum sebahagian pendapatannya didalam kumpulan wang ini. Caruman tersebut akan dikreditkan ke akaun individu ahli di KWSP. Amaun caruman terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Kadar caruman semasa adalah mengikut upah/gaji bulanan diterima.

 

Wang KWSP ini hanya boleh dikeluarkan sebahagiannya oleh pencarum apabila ia mencapai umur tertentu dalam tempoh perkhidmatannya atau mengambil keseluruhannya apabila ia telah mencapai umur pencen atau bersara. Ia juga boleh dikeluarkan atas pelbagai sebab lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP. Wang KWSP diwajibkan zakat (setelah memenuhi syarat-syaratnya) kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa, justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”. Namun syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP).

DALIL ZAKAT KWSP

Caruman KWSP diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama’ sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Dalilnya seperti berikut:

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” [Surah Al-Taubah (9): 34-35]

Fatwa Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Bayaran Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sejurus Pengeluaran – Satu Alternatif. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

i.   Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Jumhur Ulama’; berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.

  1. ii.  Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali Ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut; Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

NISAB DAN KADAR ZAKAT KWSP

Nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85 gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran (cukup syarat milik sempurna)

Contoh:

Zakat KWSP
= Jumlah simpanan KWSP yang sudah milik sempurna x 2.5%

= RM 100,000 (contoh) x 2.5%

= RM 2,500

Kira Zakat KWSP

kalkulatorzakat