Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi S.A.W memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulasan : Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah ini wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam. Cuma para fuqaha menetapkan yang afdal menunaikan fitrah ialah orang yang wajib atasnya memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang menjaga dan membesarkan cucunya. Secara mudahnya orang yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan dan urusan memberi nafkah keluarga.
Zakat fitrah wajib atas Semua individu dari kalangan lelaki, wanita, tua, muda hamba atau merdeka yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan sehingga hari raya. . Anak perempuan yang masih belum berkahwin masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun begitu, jika anak perempuan tersebut ingin membayar sendiri zakat fitrahnya maka dia perlu meminta keizinan dari bapanya terlebih dahulu.
Begitu juga pelajar yang sedang menuntut di universiti dan seumpamanya jika mempunyai lebihan wang perlu membayar zakat fitrah jika tidak dibayarkan oleh orang tua mereka.
Timbul persoalan mengenai tanggungjawab zakat fitrah atas seorang pembantu rumah. Dalam hal ini, Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan ketua atau majikan pembantu rumah itu dibolehkan bahkan lebih afdhal membayar zakat fitrah baginya walaupun pembantu rumah tersebut wajib membayarnya sendiri.
Antara syarat yang berkaitan juga ialah berkaitan dengan keadaan hidup atau mati ketika waktu wajib membayar fitrah. Dalam hal ini, ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.
Bagi mereka yang hidup pada Ramadan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.
Begitu juga setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadan dan hidup sehingga selepasnya, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadan maka tidak wajib fitrah baginya.
Terdapat satu cadangan daripada Umar al-Khattab R.A yang mengatakan jika ibu mengandung ingin menunaikan fitrah bagi anak dalam kandungan adalah dibolehkan bertujan untuk menambah pahala sunat (tathawwu’). Namun begitu hukumnya tetap tak wajib sebagaimana senarai kes di atas tadi.
Zakat fitrah mestilah ditunaikan sebelum dari selesai solat sunat Aidilfitri. Jika ditunaikan selepasnya maka ia tidak lagi dikira zakat fitrah namun hanya dinilaikan seperti sedekah biasa.
Daripada Ibnu Abbas, Baginda S.A.W bersabda, ?Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah?. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Namun, menurut Syeikh Salih Uthaimain rhm jika terluput zakat fitrah tersebut ia wajib digantikan (qadha) tetapi tetap dikira sebagai sedekah biasa kerana dibayar sesudah terluput waktunya.
Para fuqaha memutuskan bahawa zakat fitrah itu berdasarkan makanan ruji tempatan. Kalau di Malaysia, kadarnya adalah mengikut harga beras yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.
Dari Abu Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w bersabda: “Kami pada zaman Nabi mengeluarkan zakat daripada makanan ruji, waktu itu ialah gandum, kurma, kismis dan roti. (Hadith riwayat Bukhari)
Tidak semestinya kita membayar fitrah mengikut harga beras yang kita makan. Memadai di bayar mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh masyarakat secara umum.
Namun begitu, bagi mereka yang biasa memakan nasi mengikut gred beras yang lebih mahal seperti basmati dan seumpamanya, adalah lebih afdal jika mereka membayar fitrah berdasarkan beras atau kadar harga beras tersebut.
Alhamdulillah pada hari ini kaedah membayar zakat fitrah telah dimudahkan mengikut pandangan dari Imam Abu Hanifah dengan membayar harga atau nilaian beras tersebut sebagai ganti beras kerana lebih sesuai dan menepati maslahah asnaf.
Bersumberkan dari pihak Majlis agama Islam negeri-negeri, kadar zakat fitrah bagi tahun 1433H bersamaan 2012M bagi kebanyakan negeri-negeri di seluruh Malaysia adalah sebanyak RM 7. Cuma terdapat perbezaan di beberapa negeri seperti Johor kadarnya RM 8 atau RM 5, Terengganu RM 7.60, RM 7 atau RM 4.50, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka RM 6.50 dan Perlis sebanyak RM 6.
Firman Allah swt:
???? ????? ??????? ???? ???? ?????
“Dan orang-orang yang diberati keatasnya dan tidak mampu berpuasa ; dia wajib membayar fidyah berupa makanan asasi kepada orang miskin.” (148 : al-Baqarah)
Ibnu Abbas berkata dalam mentafsirkan ayat ini:
“Keadaan ini adalah orang lelaki dan perempuan tua yang tidak mampu untuk berpuasa hendaklah memberi makan setiap hari yang ditinggalkan puasa sebanyak satu cupak kepada orang miskin.” (Hr Bukhari 4235)
Justeru fidyah dibayar setiap hari sekadar satu cupak makanan asasi seperti beras di Malaysia. Jumlah secupak mengikut kiraan metrik semasa ialah 675 gram yang diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah juga boleh dibayar mengikut nilaian secupak beras mengikut pandangan mazhab Hanafi. Anggaran secupak beras adalah sebanyak RM 1.75