Menjadi impian setiap orang untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa untuk dianggap rumahku syurgaku. Tidak semua orang bernasib baik termasuk penyanyi terkenal era 1990-an yang memilih untuk berteduh di sebuah pondok selama dua tahun disamping menghasilkan karya-karya baru buat tatapan peminat.
Namun, segalanya berubah minggu lalu apabila kisah kesusahan yang dialami oleh beliau disiarkan oleh pihak media dan mendapat perhatian Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP) melalui program tanggungjawab sosial korporat CSR iaitu Khaira PPZ.
Sejurus mendapat perkhabaran berita tersebut, PPZ-MAIWP telah tampil membantu To’ki dan juga isterinya, Puan Sharifah Fairuz yang kurang sihat akibat kemalangan jalan raya yang dialami.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff telah menyerahkan kunci kediaman dengan membantu menyewakan rumah kepada To’ki atau nama sebenar beliau, Mohd Zaki Mansur, 53 tahun seperti yang dijanjikan dalam pertemuan yang lalu.
Pihak PPZ-MAIWP juga telah menghulurkan beberapa bentuk bantuan lain seperti peralatan asas rumah, komputer riba dan juga bantuan kewangan.
Diharapkan bantuan rumah baharu yang telah diserahkan oleh PPZ-MAIWP mampu memberikan keselesaan dalam membantu kebangkitan perjalanan hidup beliau dan sinar baharu kepada To’ki untuk terus berkarya dan berjaya dalam kehidupan.
To’ki ketika ditemui juga menzahirkan rasa syukur dan gembira atas pemberian sumbangan yang disifatkannya sebagai sangat bermakna. PPZ-MAIWP akan terus menggerakkan pelbagai jenis program tanggungjawab sosial (CSR) yang dijenamakan sebagai Khaira PPZ. Semoga program CSR yang dijalankan dapat membantu lebih ramai lagi golongan yang kurang berkemampuan.
Leave a Comment