Bayaran zakat fitrah pada tahun ini telah ditetapkan sebanyak RM5 dan RM7 di Wilayah Persekutuan bertujuan meringankan beban umat Islam dan mengambil kira keadaan semasa.
Dalam usaha untuk memutuskan rangkaian Covid-19, Pusat Pungutan Zakat – MAIWP telah memperkenalkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui fitrah.zakat.com.my. Portal ini diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran zakat fitrah kerana ianya lebih selamat, mudah dan cepat hanya dengan menggunakan gajet dari rumah.
Mekanisme pelaksanaan ini sememangnya sesuai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa dan juga atas dasar cakna PPZ-MAIWP dengan keperluan semasa bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan Rukun Islam ketiga.
Umat Islam boleh mula membuat pembayaran zakat fitrah menggunakankan platform ini bermula 24 April sehingga 23 Mei iaitu sepanjang bulan Ramadan. Pembayar hanya perlu mengisi maklumat ringkas di pautan berkenaan dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan internet atau kad debit/ kad kredit perbankan Islam.
Dalam pada itu, PPZ-MAIWP masih lagi menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui empat kaunter cawangan PPZ-MAIWP bagi membantu mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet.
PPZ-MAIWP juga telah melantik beberapa ejen sah iaitu 14 perbankan internet, PayHalal, MyEG, Pos Online dan juga pembayaran menggunakan e-wallet melalui U Mobile dan juga Boost untuk membayar zakat.
Leave a Comment