Kuala Lumpur – Koperasi Felda Trading (KF Bowlers) telah berjaya membawa pulang hadiah utama berjumlah RM1,500 selepas dinobatkan sebagai Juara keseluruhan di dalam Kejohanan Bowling Bersama Pembayar Zakat Perniagaan Koperasi 2018 anjuran PPZ-MAIWP yang telah diadakan di Endah Parade, Sri Petaling Kuala Lumpur.
Sebanyak 17 pasukan yang menyertai kejohanan pada kali ini mewakili koperasi masing-masing antaranya Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP), Koperasi Kastam, Koperasi Polis Diraja Malaysia (Kop. PDRM), Koperasi Pos Nasional Berhad (KOPONAS) dan lain-lain.
Mohammed Hassan, Pengurus Besar Kanan Operasi PPZ-MAIWP berkata, kejohanan ini adalah bertujuan memberi ruang kepada syarikat koperasi bersama-sama berkumpul dan berkongsi idea seterusnya mengukuhkan hubungan sesama saudara Islam.
“Objektif kami adalah untuk memberi ruang kepada koperasi berada di satu tempat dan bersaing dengan sihat. Disamping itu dapat mengeratkan hubungan antara mereka dan PPZ-MAIWP,” kata beliau.
Tempat kedua dan ketiga disandang oleh FELKOP United dan KOPONAS B yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000.