Soalan Lazim Zakat Ternakan

Zakat hasil ternakan ataupun dalam istilah yang boleh disebut juga ialah zakat binatang ternakan. Adapun mengikut peristilahan para fuqaha’ ia lebih mengkhususkan binatang ternakan tertentu sahaja yang diistilahkan sebagai al-An’aam sahaja yang terdiri dari kategori haiwan seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sahaja. Al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab berpandangan bahawasanya zakat hanya dikenakan atas binatang-binatang tersebut secara khusus kerana nas-nas Al-Quran dan al-Sunnah menyenaraikan jenis-jenis binatang tersebut sahaja dan kedudukannya yang menjadi satu kebiasaan untuk diternak, diambil manfaat dan faedah seperti susu, daging dan tujuan pembiakan. Sebagaimana yang telah Allah s.w.t firmankan dalam surah al-Nahl ayat 5 -7 :

“Adapun binatang-binatang ternak itu, Dia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain dan daripadanya juga kamu makan. Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang) dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi). Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.”

Inilah hikmatullah dalam setiap rezeki yang diberikan. Ada sahaja peluang ibadah yang boleh dilakukan dan bukan semata-mata rezeki yang dimanfaatkan hanya untuk kegunaan pemilknya dan menjadi asas kekayaan, bahkan keperluan asnaf juga turut terbela dan boleh mengambil manfaat hasil dari zakat yang ditunaikan.

Persoalan sememangnya wujud apabila konsep dan skop binatang yang dipelihara sebagai haiwan ternakan yang tidak termasuk dalam kategori al-An’aam. Perkara ini timbul kerana sudah banyak kita lihat haiwan-haiwan lain yang dahulunya bersifat liar, kini diternak secara komersial untuk memperolehi keuntungan sama seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Sebagai contoh di Malaysia, kini sudah ada ternakan seperti rusa yang dipelihara secara besar-besaran untuk tujuan memperolehi daging.

Kita merujuk kepada pandangan yang telah dikemukakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam Fiqh al-Zakat. Beliau berpandangan sewajarnya binatang seumpama ini yang dipelihara untuk tujuan komersial dikenakan zakat. Asas utama pendapat beliau adalah berdasarkan qiyas kerana baginya kaedah qiyas wajar digunakan dalam menentukan sumber-sumber harta yang dikenakan zakat. Pandangan beliau ini juga disebutkan oleh beberapa tokoh ulama’ yang lain seperti Muhammad Abu Zahrah dan Abd Wahhab Khallaf. Mereka berpandangan bahawasanya ijtihad yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap zakat kuda yang dikenakan zakat atas hasilnya setelah diperniagakan menunjukkan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bersifat beku, sebaliknya boleh diperluaskan pemakaiannya menerusi kaedah qiyas dan merujuk kepada illah (sebab) yang boleh difahami dari jenis harta kenaan zakat.

Secara kesimpulannya, walaupun secara zatnya haiwan tersebut dikenakan zakat mengikut nisab haiwan ternakan yang lain, namun zakat tersebut dikenakan atas hasil jualan atau pulangan perniagaan yang diterima dari hasil dagangan haiwan-haiwan tersebut sebanyak 2.5%.

Ada empat syarat utama yang perlu diperhatikan dan dipenuhi sebelum zakat boleh diambil dari haiwan ternakan. Syarat-syaratnya ialah :

  1. Binatang tersebut bukanlah digunakan sebagai kenderaan, pengangkutan, tujuan kerja seperti membajak sawah dan sebagainya.
    Ini tidak melibatkan kambing, biri-biri dan haiwan ternakan berbadan kecil kerana tidak digunakan untuk tujuan yang tersebut. Ia lebih melibatkan haiwan seperti lembu, kerbau, unta dan sebagainya. Abu Ubaid meriwayatkan dari al-Hasan dalam satu athar : “Tidak diwajibkan zakat atas unta dan lembu yang digunakan untuk tujuan bekerja.” [Abu Ubaid, al-Amwal]
  1. Binatang tersebut dibiarkan meragut sendiri. Dalam bahasa Arab dan istilah fiqh disebut sebagai al-Saimah. Sabda Nabi s.a.w dalam satu hadith riwayat Bahz ibn Hakim dari bapanya daripada datuknya : “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Pada setiap unta yang saimah dikenakan satu bint labun (anak unta betina yang sedang menyusu) bagi setiap empat puluh ekor.”
  2. Cukup nisab iaitu kadar yang telah ditetapkan secara tertentu mengikut syara’. Dalam hal ini setiap jenis haiwan ternakan punya nisab tersendiri sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w. Sila rujuk jadual yang dilampirkan.
  3. Cukup tempoh haul atau setahun berasaskan tahun Islam selama 12 bulan. Sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Ali r.a : “Tidak ada zakat pada sebarang harta kecuali sesudah ia mencapai haul.” [Hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-32 yang bersidang pada 10-11 Jun 1993 telah membincangkan Hukum Zakat Korban Dan Aqiqah Ke Atas Ternakan Rusa. Muzakarah telah memutuskan bahawa rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan aqiqah. Jika sekiranya diperniagakan, maka dikenakan zakat perniagaan dengan kadar 2.5 %. [Lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-zakat-korban-dan-aqiqah-ke-atas-ternakan-rusa].

Sifir Kiraan Zakat Lembu/ Kerbau

KADAR NISAB KADAR ZAKAT
Bilangan (ekor) Bilangan Jantina Umur
30 – 39 1 ekor Jantan 1 tahun lebih*
40 – 49 1 ekor Betina 2 tahun lebih**
60 – 69 2 ekor Jantan 1 tahun lebih*
70 – 79 1 ekor &1 ekor Jantan &Betina 1 tahun lebih & *2 tahun lebih**
80 – 89 2 ekor Betina 2 tahun lebih**
90 – 99 3 ekor Jantan 1 tahun lebih*
100 – 109 2 ekor &1 ekor Jantan &Betina 1 tahun lebih & *2 tahun lebih**
110 – 119 2 ekor Jantan 1 tahun lebih*
120 ke atas 3 ekor atau4 ekor Betina @Jantan 2 tahun lebih & **1 tahun lebih*

* Apabila bilangan itu lebih daripada yang dinyatakan di atas, maka bagi setiap 30 ekor lembu diwajibkan zakat 1 ekor anak lembu jantan yang berumur satu tahun. Bagi setiap 40 ekor anak lembu diwajibkan zakat satu ekor anak lembu betina yang berumur 2 tahun.

** Tetapi jika ternakan bercampur, maka zakatnya terserah kepada pembayar samada boleh memberi lembu/kerbau yang lain atau daripada pemeliharaan itu. Pilihlah yang sederhana untuk keluarkan zakat.

Sifir Kiraan Zakat Kambing/ Biri-Biri

KADAR NISAB KADAR ZAKAT
Bilangan (ekor) Bilangan Jantina Umur
40 – 120 1 ekor kambing biri-biri atau1 ekor kambing Jantan/BetinaJantan/Betina 1 tahun2 tahun
121 – 200 2 ekor kambing biri-biri atau2 ekor kambing Jantan/BetinaJantan/Betina 1 tahun
201 – 399 3 ekor kambing biri-biri atau3 ekor kambing Jantan/BetinaJantan/Betina 1 tahun2 tahun
Penambahan seterusnya: Tiap-tiap 100 ekor 1 ekor kambing biri-biri atau1 ekor kambing Jantan/BetinaJantan/Betina 2 tahun
  • Setiap pertambahan 100 ekor, zakatnya ditambahkan 1 ekor kambing 2 tahun dan seterusnya.
  • Jika semua kambing sampai nisab itu jantan maka harus dikeluarkan yang jantan sebagai zakat, tetapi apabila ada antaranya yang betina hendaklah sebahagian dari zakat yang dikeluarkan itu betina.
  • Jika bercampur kambing dan biri-biri serta beberapa jenisnya maka apabila cukup nisab, bolehlah dikeluarkan zakatnya mengikut pilihan tuannya samada kambing atau biri-biri.

Nisab unta adalah 5 ekor, di bawah jumlah itu peternak tidak wajib mengeluarkan Zakat atas ternak tersebut.

Jumlah Unta Kadar Zakat
5-9 1 ekor kambing
10-14 2 ekor kambing
15-19 3 ekor kambing
20-24 4 ekor kambing
25-35 1 ekor bintu makhad betina (unta genap 1 tahun sampai 2 tahun)
36-45 1 ekor bintu labun (genap 2 tahun masuk 3 tahun)
46-60 1 ekor hiqqoh (genap 3 tahun masuk 4 tahun)
61-75 1 ekor jadz’ah (genap 4 tahun masuk 5 tahun)
76-90 2 ekor bintu labun
91-120 2 ekor hiqqoh
121-129 3 ekor bint labun
130-139 1 ekor hiqqah dan 1 ekor bint labun
140-149 2 ekor hiqqah dan 1 ekor bint labun
150-159 3 ekor hiqqah
160-169 4 ekor bint labun
170-179 3 ekor bint labun dan 2 ekor hiqqah
180-189 2 ekor bint labun dan 2 ekor hiqqah
190-199 4 ekor hiqqah
200-209 4 ekor bint labun dan 1 ekor hiqqah
210-219 3 ekor bint labun dan 2 ekor hiqqah
220-229 2 ekor bint labun dan 3 ekor hiqqah
230-239 1 ekor bint labun dan 4 ekor hiqqah
240-249 Dan seterusnya mengikuti bilangan dan pusingan kiraan seperti di atas