Soalan Lazim Zakat Galian (Ma’adan)

Ma’dan dari segi bahasa bermaksud menetap (tetap) atau diam.

Adapun mengikut istilah syara’ yang dimaksudkan dengan ma’dan adalah segala sesuatu yang berasal dari dalam bumi dan mempunyai nilai berharga. Ma’dan boleh jadi berupa padatan seperti emas, perak, besi, tembaga, timbal atau berupa zat cair seperti minyak bumi, aspal dan bitumen. [Sahih Fiqh Sunnah 2/58]

Zakat Ma’adan ini wajib hukumnya mengikut Ijma’ ulama’.

Dalil umum zakat ma’adan adalah menerusi Firman Allah Ta’ala :

“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (QS. Al Baqarah: 267).

Berkaitan kadar yang perlu dikeluarkan para ulama berbeza pandangan kepada dua:

Pertama : [Abu Hanifah dan Abu Ubaid] Kadarnya adalah 1/5 (Khumus) atau sebanyak 20% dan dianggap seperti al-Fai’. Ini berdasarkan sebuah hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Barang tambang (ma’dan) adalah harta yang terbuang-buang dan harta karun (rikaz) dizakati sebesar 1/5 (20%)

Kedua : Dizakat sekadar 2.5% atau 1/40 sebagaimana zakat emas dan perak dan merupakan zakat yang tulen. Ini adalah pandangan yang masyhur dikalangan al-Syafi’iyyah, Ibn Munzir menukilkan dari Umar bin Abd Aziz, Imam Ahmad dan Ishaq, Abu Thaur dan juga para Jumhur ulama’.

Kesimpulannya sebagaimana diputuskan oleh Majlis Agama Islam negeri Johor, Nisab ma’adan adalah seperti nisab emas dan perak iaitu 85 gram bagi emas dan 595 bagi perak. Tidak disyaratkan haul bahkan wajib dikeluarkan segera selepas diperolehi (tiada syarat haul sebagaimana pandangan jumhur ulama’) dan dibersihkan tanpa diproses. Wajib mengeluarkan 2.5% daripada jumlah keseluruhannya yang cukup syarat.

Harta yang dijumpai di dalam bumi dapat dibahagi kepada tiga :

  1. Harta yang memiliki tanda-tanda kaum kafir (bukan muslim) dan harta tersebut terbukti berasal masa jahiliyah (sebelum Islam) disebut sebagai rikaz. Harta ini tunduk kepada zakat.
  2. Harta yang tidak memiliki tanda-tanda yang kembali ke masa jahiliyah atau diyakini sifat pemiliknya seperti orang Islam.. Hal ini tertakluk kepada beberapa keadaan :
    • Jika ditemukan di tanah bertuan atau jalan bertuan disebut luqathah (barang temuan). Jika begini sifatnya, ia perlu diiklankan agar ditemui pemilik sebenarnya selama setahun, sesudah itu, jika tidak berhasil maka ia menjadi milik pihak yang menjumpainya.
    • Jika ditemukan di tanah tidak bertuan atau jalan tidak bertuan disebut kanzun(harta terpendam). Dalam hal ini harta tersebut menjadi milik orang yang menjumpainya dan perlu dizakatkan sebanyak 20% seperti rikaz dan bakinya menjadi hak si penemu harta.
    • Jika ditemui di tanah milik orang lain :
      • Barang yang ditemui menjadi milik tuan tanah [Abu Hanifah, Muhammad bin alHasan, Qiyas dari perkataan Imam Malik dan satu pandangan dari Imam Ahmad]
      • Barang itu jadi milik pihak yang menemuinya [Pandangan lain Imam Ahmad dan Abu Yusuf]

iii) Dibezakan keadaannya. Jika si pemilik mengenali harta itu, maka ia jadi miliknya. Tetapi jika tidak dikenali, maka harta tersebut dianggap empunya milik pihak yang terawal yang memiliki tanah tersebut [Syafi’e]

  1. Jika ditemui di tanah yang sudah dipindah milik menerusi pembelian dan seumpamanya maka:
  2. Harta itu menjadi milik si pembeli tanah (pemilik tanah yang baru) jika menjumpainya selagi pemilik asal tidak menuntutnya. [Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad]
  3. Harta tersebut menjadi hak milik pemilik asal tanah jika beliau mengenalinya. Jika tidak, ia menjadi hak milik pemilik terawal sebelumnya. Jika tiada siapa yang mengenali atau menuntut, maka ia menjadi seperti harta luqathah.

3. Harta yang berasal dari dalam bumi disebut ma’dan . Harta ini dizakatkan sebagaimana perbincangan dalam soalan yang lalu.

Para ulama berbeza pandangan dalam hal ini kepada tiga :

  1. Hanabilah : Semua hasil bumi atau yang terhasil dari dalam bumi walaupun bersumber dari atasnya yang mempunyai nilai seperti besi, tembaga, delima, zamrud, zabarjad, kristal, emerald, jed, aqiq, berlian, karbon dan pelbagai lagi jenis batuan atau mineral yang keras mahupun yang bersifat cair seperti bitumen dan juga petrol.
  2. Malikiyyah dan Syafi’iyyah : Tidak dikenakan zakat dari hasil bumi kecuali emas dan perak.

Hanafiyyah : Dikenakan zakat kepada semua jenis hasil bumi yang boleh ditempa atau dibentuk, dileburkan dan diproses seperti karbon, besi, gangsa mahupun tembaga.