RM143.80

Fatwa Zakat

Cetak
PDF

Hukum mengagihkan zakat secara persendirian dan qada zakat

  1. Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.
  2. Mengenai hukum Qada Zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.

Bayaran zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejurus pengeluaran - satu alternatif

  1. Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Jumhur Ulama' berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.
  2. Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali Ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut: Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

Zakat ke atas pendapatan Felda dan syarikat-syarikatnya

  1. FELDA wajib mengeluarkan zakat ke atas hasil pendapatannya dengan mengambilkira pendapatan anak-anak syarikat, sekiranya semua urusan ke atas pemilikan ekuiti dan akaun pendapatan anak-anak syarikat dikawal oleh FELDA sendiri.
  2. Walaubagaimanapun, sekiranya pendapatan anak-anak syarikat FELDA diuruskan melalui akaun yang berasingan, maka anak-anak syarikat tersebut wajib mengeluarkan zakat pendapatannya secara berasingan.

Cadangan supaya bayaran zakat yang disalurkan oleh badan-badan korporat diselaraskan pembayarannya mengikut kelayakan negeri-negeri di Malaysia

  1. Isu perpindahan bayaran zakat oleh badan-badan korporat mengikut kelayakan negeri-negeri tidak memerlukan fatwa.Muzakarah berpendapat bahawa jika terdapat mana-mana negeri yang masih memerlukan bantuan agihan zakat, bolehlah membuat permohonan terus kepada mana-mana Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang mempunyai kutipan yang tinggi. Pihak MAIN berkenaan akan menimbang dan seterusnya membuat keputusan ke atas permohonan tersebut.

Zakat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA)

  1. ANGKASA wajib mengeluarkan zakat setelah ditolak semua perbelanjaan perkhidmatan, pengurusan dan cukai pendapatan kiranya cukup haul dan nisab dengan kadar 2.5%.
  2. Zakat hendaklah dibayar berdasarkan kepada pendapatan dan keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan apabila mendapat pertumbuhan, perkembangan dan pembesaran berbanding nilai dan modal.

Zakat syarikat / anak syarikat yang dimiliki oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB)

  1. Pemodalan Nasional Berhad (PNB) memiliki anak-anak syarikat yang tidak disatukan. Masa kini anak syarikat milik PNB tidak dikenakan zakat tetapi zakat hanya dikenakan pada pelaburan perseorangan dan pemegang saham sahaja. Oleh itu menjadi tanggungjawab PNB memberikan kesedaran kepada pelabur perseorangan supaya membayar zakat untuk mereka. PNB juga dikehendaki memberi peringatan kepada pemegang saham supaya membayar zakat.

Zakat ke atas syarikat yang dimiliki oleh berbagai jenis pemegang saham yang bercampur Muslim dan non-Muslim

  1. Bahawa syarikat Yang bercampur antara pemegang saham muslim dan non muslim, dikenakan zakat bahagian muslim sahaja.

Zakat ke atas syarikat yang dimiliki oleh Tabung Haji

  1. Anak-anak syarikat Tabung Haji wajib membayar zakat masing-masing
  2. Dalam membuat perkiraan zakat, dividen yang diisytiharkan oleh anak-anak syarikat dan dibayarkan kepada syarikat induk hendaklah ditolak.
  3. Zakat ini hendaklah dibayar berdasarkan modal asal dan keuntungan sekiranya ada.

Zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di institusi penjara

Hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:
  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Zakat gaji beserta kadarnya

  1. Asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Zakat ke atas bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan yang berlandaskan Syariah yang syarikat induknya dimiliki oleh orang bukan Islam

  1. Semua perbankan Islam yang menjalankan pengurusan perniagaan berlandaskan syarak wajib mengeluarkan zakat begitu juga semua kaunter yang menjalankan perniagaan berlandaskan syarak yang induknya bukan Islam.

Zakat ke atas firma-firma dan syarikat konsultan

  1. Wajib zakat ke atas firma-firma dan syarikat konsultan, jika dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam hak orang Islam sahaja yang kena zakat dan tidak ke atas milik bukan muslim.

Wanita dan orang bukan Islam sebagai amil zakat gaji dan pendapatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri

  1. Orang bukan Islam tidak boleh dilantik menjadi amil zakat dan wanita Islam boleh dilantik menjadi amil zakat gaji dan pendapatan di LHDN.

Penentuan harga zakat fitrah seluruh Malaysia

  1. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.
  2. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Zakat gaji dan pendapatan professional

  1. Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.
  2. Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.
  3. Muzakarah bersetuju bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Hukum zakat korban dan aqiqah ke atas ternakan rusa

  1. Rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan aqiqah.
  2. Jika sekiranya diperniagakan, maka dikenakan zakat perniagaan dengan kadar 2.5 %.

Zakat ke atas syarikat

Syarikat perniagaan adalah diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat seperti berikut:
  1. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam.
  2. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang Merdeka.
  3. Sempurna milik.
  4. Cukup nisab.
  5. Cukup haul ( genap setahun qamariah/ 354.3 hari)
  6. Kadar zakat ke atas syarikat tersebut adalah 2.5%.
  7. Syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang diperolehi.

Zakat ke atas MARA

  1. MARA tidak wajib mengeluarkan zakat kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna sepertimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Zakat Koperasi Shamelin dan seumpamanya

  1. Koperasi wajib mengeluarkan zakat bagi pihak ahli-ahlinya.

Zakat Wang KWSP

  1. Wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Syafie..

Pembayaran zakat oleh Tabung Haji

  1. Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya.
  2. Setelah dikeluarkan zakat oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi pihak penyimpan-penyimpan itu, maka barulah keuntungan bersih itu dibahagi di antara penyimpan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji menurut peratus yang ditentukan.
  3. Lembaga Urusan dan Tabung Haji sendiri tidak diwajibkan mengeluarkan zakat dari harta yang didapatinya dari (ii) di atas.
  4. Zakat tersebut hendaklah dibayar kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri, mengikut kadar simpanan penyimpan-penyimpan di negeri masing-masing.

Sistem metrik dalam urusan zakat

  1. Ukuran nisab jenis-jenis zakat kepada sistem metrik adalah harus.
  2. Sukatan nisab zakat padi ialah 363 gantang.