Bayar Zakat

 

Bayar Zakat

 

Semak Zakat

 
RM133.04

Soalan Lazim

Kategori: Info Zakat Diterbitkan: 14 Mei 2014
Ditulis oleh Super User

Apa itu zakat?

 

Zakat dari sudut bahasa ialah suci, bersih dan bertambah.Zakat dari sudut istilah ialah mengeluarkan sebahagian harta yang tertentu kepada asnaf yang berhak dengan syarat-syarat yang tertentu.

 

خُذْ مِنْ أَمْوَلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُ هُمْ وَ تُزَ كِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيهِمْ إنَّ صَلَوتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللهُ سَمِيعٌ عَلِيمُ.
 
“Ambillah  sebahagian harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak buruk) dan doalah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha mendengar lagi maha mengetahui.(at-Taubah: 103)

Berapa jenis-jenis zakat?

Zakat terbahagi kepada 2iaitu :-

i.      Zakat Fitrah

ii.     Zakat Harta yang merangkumi :

-      Zakat Pendapatan

-      Zakat Emas Dan Perak

-      Zakat Perniagaan

-      Zakat Saham

-      Zakat KWSP

-      Zakat Pertanian

-      Zakat Ternakan

-      Zakat Wang Simpanan

Bilakah zakat fitrah perlu dibayar?

Zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadan.

Waktu Wajib :Bermula selepas terbenam matahari hari terakhir Ramadhan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.

Waktu harus :Bermula dari awal Ramadan.

Wajib Fitrah: 

a)     Hidup dalam Ramadan sampai Aidilfitri    

b)     Hidup dalam Ramadan danmati selepas maghrib hari terakhir Ramadhan

c)     Hidup dalam kandungan ibu sewaktu Ramadan dan lahir sebelum maghrib Hari Terakhir Ramadan dan hidup selepas maghrib itu (walaupun mungkin hanya beberapa detik)

Tidak Wajib Fitrah :

a) Lahir selepas maghrib hari terakhir Ramadan atau pada pagi  Aidilfitri.

Berapakah kadar zakat yang perlu dikeluarkan ?

2.5% daripada harta yang wajib dizakatkan.

Siapakah yang wajib membayar zakat?

Mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkaniaitu :-

i.          Islam – Muslim tanpa mengira had umur dan jantina.

ii.         Merdeka – Bebas dari belengu hambaan.

iii.        Sempurna Milik – Berkuasa membuat sebarang transaksi keatas harta

iv.        Cukup Haul - Tempoh setahun pemilikan.

v.         Nisab – Cukup atau lebih dari nisab.

Apakah beza zakat dengan sedekah ?

Zakat

Sedekah

 Rukun Islam yang ketiga    Ibadah sunat.
 Wajib kepada muslim yang memenuhi syarat-  syaratnya.

   Sunat kepada sekalian muslimin.

 Zakat hanya boleh diberikan kepada 8 golongan  asnaf sahaja. (Rujuk Surah At-Taubah, Ayat 60)

   Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.

 Cara pembayaran zakat adalah lebih khusus  bergantung kepada jenis zakat.

   Sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk      dan cara tanpa pengkhususan.

 

Adakah zakat boleh dibayar secara ansuran ?

Ya.Zakat boleh dibayar secara ansuran.

Siapakah yang perlu membayar zakat fitrah bagi wanita yang diceraikan dan bagi anak-anak yang ditinggalkan?

Sekiranya wanita tersebut masih dalam ‘iddah suaminya wajib membayar zakat fitrah bagi dirinya dan anak-anaknya.Sekiranya ‘iddahnya telah berlalu maka bekas suami tersebut hanya bertanggungjawab membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya sahaja.

Apa maksud zakat pendapatan?

Zakat pendapatan ialah zakat yang dikenakan keatas semua jenis sumber pendapatan,hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan, aktiviti yang menghasilkan pendapatan bagi seseorang muslim dan juga hadiah, harta yang diwarisi.

Setiap hasil atau ganjaran daripada pekerjaan atau perkhidmatan secara usaha sendiri atau daripada pihak lain. Contoh item-item yang tergolong daripada pendapatan ialah gaji, elaun, bonus, emolumen, upah, bayaran profesional, dan semua jenis penerimaan yang tidak berasaskan modal, tetapi berasaskan kerja ataupun khidmat yang diberikan.

Kalkulator Pengiraan Zakat Pendapatan klik disini

Adakah pembayar zakat pendapatan boleh mendapat rebat cukai?

Ya, pembayar zakat pendapatan akan mendapat rebat cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). (Rujuk Akta cukai pendapatan individu tahun semasa)

Adakah bonus dikira bersama atau berasingan daripada pendapatan (gaji) ?

Bonus hendaklah dikira bersama dengan pendapatan.

Apakah jenis wang simpanan yang perlu dizakatkan?

Semua jenis wang simpanan samada di institusi kewangan mahupun disimpan secara sendiri adalah diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat wajib zakat.

Wang simpanan ini termasuklah berasaskan simpanan yang patuh syariah dan konvensional.

Adakah wang simpanan tetap juga mengikut cara pengiraan zakat simpanan?

Tidak, simpanan tetap (fixed deposit) hendaklah dikenakan zakat setelah memenuhi syarat sempurna milik iaitu mencapai tempoh matang.

Bagaimanakah untuk menentukan permulaan haul simpanan?

Haul wang simpanan bermula apabila akaun simpanan tersebut dibuka atau mula wang disimpan. 

Adakah zakat ASB melalui pinjaman dikenakan keatas pokok sahaja, atau dividen sahaja atau pokok dan dividen ?

Zakat dikenakan keatas dividen sahaja kerana pinjaman tersebut masih belum sempurna milik.

Saya mempunyai simpanan wang di bank ? Adakah zakat perlu dibayar keatas wang simpanan sahaja ataupun meliputi dividen dan bonus tahunan?

Zakat dibayar ke atas wang simpanan,dividen dan bonus. Namun pengiraannya hanya dikira ke atas baki terendah yang melebihi nisab tahunan.

Apakah Zakat Saham?

Zakat Saham adalah zakat yang dikenakan ke atas saham-saham yang dimiliki oleh seseorang individu dengan kadar 2.5%.

Bagaimana pengiraan Zakat Saham yang disimpan?

Zakat saham yang disimpan diambil daripada nilai semasa saham semasa haul. Pengiraannya ialah jumlah nilai saham semasa (jumlah unit saham semasa x harga semasa seunit) x 2.5%.

Kalkulator Pengiraan Zakat Saham klik disini

Bagaimana pengiraan Zakat Saham dijual beli?

Hasil jualan saham yang melebihi nisab dikenakan zakat dengan pengiraan seperti berikut :-

Keuntungan jualan saham (jumlah jualan saham – jumlah kos belian) x 2.5%

 

Kalkulator Pengiraan Zakat Saham klik disini

Apakah perbezaan antara ASB dan ASN? Adakah pengiraan zakatnya sama?

ASB ialah Amanah Saham Bumiputra yang bersifat simpanan kerana nilai unit yang kekal RM1 seunit dan pengiraannya adalah mengikut zakat wang simpanan.Manakala ASN pula ialah Amanah Saham Nasional yang bersifat saham kerana nilai unitnya yang berubah-ubah dan pengiraannya mengikut zakat saham.

Bagaimana pengiraan zakat KWSP?

Jumlah wang KWSP yang dikeluarkan x 2.5% = Jumlah kena zakat.

Contoh :

Jumlah wang yang dikeluarkan sebanyak RM10,000 x 2.5% (kadar zakat) = RM250

Kalkulator Pengiraan Zakat KWSP klik disini

Mengapa kita tidak perlu mengeluarkan Zakat KWSP pada setiap tahun seperti Zakat Simpanan?

Ini kerana tidak cukup syarat wajib zakat iaitu sempurna milik

Adakah selepas umur dibenarkan mengeluarkan semua wang KWSP kita perlu menunggu haul lagi untuk berzakat?

Tidak perlu menunggu haul.

Apakah jenis-jenis perniagaan yang perlu dizakatkan?

Aktiviti perniagaan berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya yang dijalankan sam ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama islam atau bukan islam, perniagaan secara syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya. 

Kalkulator Pengiraan Zakat Perniagaan klik disini

Sekiranya perniagaan jenis perkongsian yang mana ada pemegang syer (saham) yang bukan Islam, bagaimana pengeluaran zakat dilakukan?

Zakat perlu dilihat syer (saham) yang dimiliki oleh pemilik muslim sahaja. Pemilik sher bukan islam tidak perlu dizakatkan.

Bagaimana pengiraan Zakat Perniagaan yang tidak mempunyai akaun?

Contoh-contoh perniagaan yang tiada mempunyai akaun ialah Peniaga Runcit, Pasar Tani, Pasar Malam, Restoran Kecil, Kedai Makan dan sebagainya.

Hasil,Jualan atau Perolehan – KosPerbelanjaan x 2.5% = zakat.

Adakah pihak duit Masjid dan Surau juga perlu mengeluarkan zakat?

Zakat tidak dikenakan ke atas sesebuah organisasi yang tidak dimiliki oleh seseorang dan organisasi yang tidak bermatlamatkan perniagaan, misalnya masjid dan badan-badan kebajikan.

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Perhiasan (Dipakai) ?

Emas perhiasan yang dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun WAJIB dizakatkan sekiranya jumlah melebihi kadar uruf 150 gram. Kategori bayaran zakat emas.

Contoh Taksiran:

Sekiranya seseorang memakai 200 gram perhiasan emas, kadar uruf tahap pemakaian adalah sebanyak 150 gram. Maka jumlah yang dikenakan zakat  yang melebihi kadar uruf.

Cara kiraan:

= 200 gram – 150 gram x Harga Emas Semasa (contoh RM140/gm)              

= 50 gram x RM140 = RM7,000

= RM7000 x 2.5% (kadar zakat)

= RM175 (jumlah bayaran zakat emas)

Kalkulator Pengiraan Zakat Emas klik disini

 

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Simpan (Tidak Dipakai) ?

Emas perhiasan yang TIDAK dipakai dalam tempoh setahun, WAJIB dizakatkan sekiranya jumlah melebihi nisab 85 gram.Kategori bayaran zakat emas.

Cara kiraan:             

= Berat Jumlah Emas Simpan x 2.5%

= 100 gram (melebihi nisab) x Harga Emas Semasa (contoh RM140/gm)

= 100 gram x RM140 = RM14,000

= RM14,000 x 2.5% (kadar zakat)

= RM350 (jumlah bayaran zakat emas)         

Kalkulator Pengiraan Zakat Emas klik disini

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Pelaburan Fizikal ?

Pemilikan emas fizikal yang diniatkan untuk pelaburan.Emas yang berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer.Ia dikategorikan sebagai bayaran zakat perniagaan. Berat emas melebihi nisab 85 gram.

Contoh Taksiran:

Seseorang memiliki 150 gram emas syiling dan 250 gram emas jongkong, maka diakhir tahun (haul) diambil keseluruhan berat (gram) emas pelaburan tersebut.

Cara kiraan:

= Berat pemilikan emas (akhir tahun) x Harga Emas Semasa (contoh  RM140/gm)

= 150gm+250gm

= 400 gram (melebihi nisab) x RM140

= RM56,000

= RM56,000 x 2.5% =RM1,400 (jumlah bayaran zakat perniagaan)

 Kalkulator Pengiraan Zakat Emas klik disini

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Pelaburan Passbook Patuh Syariah ?

Pemilikan emas dalam bentuk passbook.Kepatuhan syariah berlaku apabila fizikal emas itu wujud dan dipegang oleh pelabur.Buat masa ini, hanya Kuwait Finance House (KFH) dan Al-Rajhi Bank sahaja yang menyediakan emas passbook patuh syariah sepenuhnya.Ianya dikategorikan sebagai Zakat Perniagaan kerana niat pelaburan.Berat emas melebihi nisab 85 gram.

Untuk memudahkan proses taksiran, beberapa maklumat boleh didapati dalam buku akaun passbook pembayar, antaranya:

i.          Haul dipastikan melalui rekod pembelian yang tercatit pada buku akaun

ii.         Gram emas juga dipastikan melalui rekod pada buku akaun.

iii.       Nilai emas dikira daripada harga seunit atau lain-lain sumber.

Contoh Taksiran:

Sekiranya sewaktu taksiran atau di akhir haul, jumlah pemilikan emas passbook yang dinyatakan ialah 200 gram, maka:

Cara kiraan Zakat Emas Pelaburan Passbook Patuh Syariah

= Berat Gram pemilikan (sewaktu taksiran) x Harga emas  semasa

   (contoh RM140/gm)

= 200 gram x RM140 = RM28,000

= RM28,000 x 2.5% (kadar zakat)

= RM700 (jumlah bayaran zakat perniagaan)

Kalkulator Pengiraan Zakat Emas klik disini

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Pelaburan Passbook Tidak Patuh Syariah ?

Pemilikan emas dalam bentuk passbook tidak patuh syariah. Ianya tidak patuh syariah kerana :

i)  fizikal emas itu tidak wujud dan / atau

ii) pelabur tidak dibenarkan mengambil emas fizikalnya.

 

Buat masa ini, akaun passbook yang tidak patuh syariah ialah dari RHB, Public Bank, Maybank.Namun ini tertakluk kepada perubahan dari masa ke semasa.

Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok dikategorikan sebagai Zakat Wang Simpanan.Jumlahnya perlu melebihi nilai nisab tahunan.

 

Untuk memudahkan proses taksiran, maklumat boleh diperolehi yang tercatat dalam buku akaun passbook pembayar antaranya:

i.          Tarikh pembelian yang tercatit pada buku akaun

ii.         Berapakah nilaian terendah yang tercatat dalam buku akaun.

 

Cara kiraan Zakat Emas Pelaburan Tidak Patuh Syariah:

 

= Baki terendah jumlah wang yang tersimpan x 2.5% (kadar zakat)

= RM20,000 x 2.5% (kadar zakat)

= RM500 (jumlah bayaran zakat wang simpanan)

Bagaimana Pengiraan Zakat Emas Pelaburan Forex ?

Pelaburan berbentuk FOREX (jualbeli emas dalam internet) adalah tidak patuh syariah.Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok yang dikategorikan sebagai zakat wang simpanan. Jumlahnya perlu melebihi kadar nisab tahunan.

Cara kiraan zakat emas pelaburan FOREX.

Sekiranya terdapat keuntungan pada harga semasa berbanding pelaburan pokok ianya dikategorikan sebagai wang faedah.

i) Zakat Wang Simpanan    

= RM50,000 (pelaburan pokok @ baki terendah) x 2.5% (kadar zakat)

= RM1,250 (jumlah bayaran zakat wang simpanan)

ii) Wang Faedah                  

= Jumlah Pelaburan Semasa - Pelaburan pokok

= RM25,000 – RM10,000

= RM15,000 (jumlah bayaran wang faedah)