PPZ sumbang RM16 ribu di Malam Jalinan
Kasih
Oleh Razali Md Jani
Kuala Lumpur, 24 September 2005 – Sempena
Sambutan 15 tahun penubuhan Pusat Pungutan Zakat (PPZ),
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang
sebanyak RM16 ribu kepada 12 organisasi dan pertubuhan
di sini malam tadi dalam Majlis Malam Jalinan Kasih
PPZ.
Majlis yang dihadiri Pengerusi PPZ, Dato’ Haji
Abdul Rahim Abu Bakar yang menyampaikan cek sumbangan
PPZ kepada 12 pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan
kebajikan media massa. Pertubuhan dan organisasi yang
menerima sumbangan pada malam tersebut termasuk Asrama
Anak-anak Yatim Perempuan Baitul Izzah, Yayasan Anak-anak
Yatim Pinggir TTDI, Persatuan Kebajikan Anak Pesakit
HIV/AIDS Nurul Iman, Persatuan Penyayang Nur Iman,
Jawatankuasa Kebajikan Islam MAS, Tabung Kebajikan
Angkatan Tentera, Tabung Kebajikan BERNAMA, Badan
Keluarga Utusan Melayu, Biro Kebajikan Pekerja TV3,
Badan Kebajikan Kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia
dan Unit Kebajikan NST masing-masing menerima cek
berjumlah RM1000. PPZ turut menyumbang sebanyak RM5000
untuk Tabung Bersamamu TV3.
Selain dari itu, dalam majlis berkenaan PPZ turut
menyampaikan cek kepada lapan pemenang penulisan esei
zakat 2005. Seramai 200 penuntut institusi pengajian
tinggi awam dan swasta telah menyertai dalam pertandingan
esei zakat yang bermula Jun dan berakhir Julai lalu.
Dalam pertandingan penulisan esei zakat itu, tempat
pertama dimenangi Salmiah Mohd Jaafar dari Universiti
Tun Abdul Razak (UTAR) menerima wang tunai RM3000,
kedua Nur Syukriah Dol Hadi (Universiti Teknologi
Mara (Uitm), Alor Gajah, Melaka) mendapat RM2000 dan
Muhammad Asyraf Entan (Universiti Islam Antarabangsa-UIA)
RM1000. Manakala pemenang saguhati bernilai RM500
setiap seorang diperolehi Nor Maizatul Akmal Jaafar
(UTAR), Sofiah Latip (UIA), Munirah Zakaria (UIA),
Ahmad Esa (Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein
Onn) dan Hamidah Syuaibah Iilias (Universiti Teknologi
Petronas).