Agihan
zakat - Pembayar berhak tahu
Oleh HELMI MOHD FOAD
BENARKAH pandangan yang menyatakan
bahawa selepas seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya
membayar zakat, maka mereka tidak perlu lagi mempersoalkan
bagaimana dan ke mana wang tersebut disalurkan?
Umat Islam hanya perlu menyerahkan
saja pada Baitulmal untuk menguruskan wang zakat tersebut
dan mengagihkan kepada asnaf tertentu.
Berdasarkan pendapat ulama as-Syafie,
wajib mengagihkan zakat sama ada fitrah dan zakat
harta kepada lapan asnaf berdasarkan dalil ayat 60,
Surah Al-Taubah,
``Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir,
miskin, amil-amil yang menguruskannya, muallaf yang
dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan
dirinya, orang berhutang, (untuk dibelanjakan pada)
jalan Allah dan orang musafir yang keputusan dalam
perjalanan...,''
Bagaimanapun senario terkini menyaksikan
umat Islam di negara ini begitu sensitif berhubung
isu zakat, apatah lagi jika terdapat laporan berlakunya
penyelewengan dalam urusan pengagihan zakat.
Ini lebih ketara bagi asnaf fi sabilillah
yang mempunyai takrifan agak luas, iaitu bukan sekadar
melibatkan pejuang Islam di medan pertempuran.
Kalimah fi sabilillah yang secara
mutlak seperti disebut di beberapa tempat dalam al-Quran
bermaksud peperangan. Sedangkan mereka yang terlibat
dalam pertempuran mempunyai hak dalam daftar tentera
(diwan al-jund).
Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya,
al-fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut dengan itu,
zakat hendaklah diberikan kepada pejuang Islam untuk
membolehkan mereka menjalankan tugas bagi maslahah
umum walaupun golongan itu dianggap kaya oleh masyarakat.
Justeru persoalannya bukan kerana
hukum, sebaliknya tentang kewajaran memberikan wang
zakat kepada orang kaya termasuk anak Exco Kerajaan
Negeri atas nama fi sabilillah.
Di sini perlu difahami bahawa mengikut
kaedah fiqh kita perlu mempertahankan hukum tetapi
tidak semestinya ia diamalkan.
Contohnya, poligami dibolehkan dalam
Islam tetapi adakah semua orang lelaki perlu mempraktikkannya?
Justeru, umat Islam berhak mempertikaikan
jika zakat diberikan secara tidak berhemah kepada
orang-orang kaya walaupun ia dari segi hukumnya adalah
harus.
Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat
Wilayah Persekutuan (PPZWP), Datuk Mohamed Dahan Abdul
Latiff berkata, keberanian masyarakat hari ini mempertikaikan
agihan zakat tidak boleh dianggap bahawa mereka tidak
tahu soal agama.
``Sebab mereka tahu agamalah, masyarakat
kita hari ini mula berani mempersoalkan masalah agihan
zakat,'' katanya sambil menambah zakat juga memerlukan
konsep ketelusan kerana ia adalah aspek penting dalam
pengurusan Islam.
Beliau yang melihat perkara itu daripada
sudut kacamata seorang pentadbir pungutan zakat menjelaskan,
kefahaman dan kesedaran agama mendorong saban tahun
ramai individu dan syarikat korporat tampil membayar
zakat sekali gus meningkatkan jumlah kutipannya.
Beliau berkata, pembayar zakat adalah
satu elemen penting yang menghidupkan institusi zakat
dan mereka meletakkan sepenuh kepercayaan agar agihan
zakat dijalankan dengan baik.
``Kita tidak boleh kata pembayar
tidak ada hak mempersoalkan agihan malah sebenarnya
mereka sentiasa ada hak.
``Kerana mereka berharap wang yang
dibayar itu digunakan mengikut keutamaan dan mahu
memastikan golongan fakir dan miskin sentiasa mendapat
pembelaan,'' katanya.
Statistik menunjukkan kutipan zakat
harta dan fitrah seluruh negara pada 2001 adalah kira-kira
RM 320.3 juta dengan Wilayah Persekutuan mencatatkan
jumlah tertinggi RM 72.8 juta (22.8 peratus).
Dengan jumlah kutipan yang begitu
terhad, maka adalah wajar institusi zakat perlu mendahulukan
asnaf fakir dan miskin serta golongan yang terhimpit.
``Jika sudah tidak ada golongan itu
maka baru boleh difikirkan untuk menyalurkan bantuan
kepada pihak yang lain,'' katanya.
Tetapi dalam keadaan masih ramai
lagi orang miskin, para pembayar tidak dapat menerima
jika zakat dibayar kepada golongan berada walaupun
pada hakikatnya mereka berhak.
Dalam hal ini katanya, sensitiviti
pembayar perlu diambil kira kerana jika agihan tidak
dilakukan dengan baik, ia boleh menyebabkan kredibiliti
institusi zakat akan dipersoalkan.
``Ini kerana bukan senang hendak
memberikan keyakinan (supaya bayar zakat), jadi jangan
rosakkan keyakinan mereka,'' tegasnya.
Beliau bimbang apabila kredibiliti
institusi zakat dipertikaikan, masyarakat akan kembali
kepada kaedah lama iaitu menyalurkan zakat terus kepada
asnaf.
``Ini dengan sendirinya akan meruntuhkan
institusi zakat dan usaha untuk menguruskan zakat
dengan sistematik akan terbantut.
``Anda boleh lihat, jika ada pihak
yang melakukan pengagihan secara tidak betul, suatu
hari nanti jumlah kutipan akan berkurangan,'' ujarnya.
Mohamed Dahan yang pernah mencadangkan
penubuhan Lembaga Urusan Zakat Malaysia (Luzam) berkata,
institusi zakat perlu menonjolkan imej pentadbiran
bersistematik, berkesan dan teratur serta perlu mengelakkan
sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan imejnya.
Setiap negeri berhak untuk mentafsir
apa program yang hendak dilakukan di bawah asnaf fi
sabilillah, namun ia tidak boleh dijadikan `lesen
besar' untuk menggunakan wang zakat tanpa mengambil
kira sebarang faktor termasuk latar belakang kewangan.
Malah ia juga bergantung sejauh mana
pihak kerajaan negeri memainkan peranan untuk membantu
dan membasmi kemiskinan dalam masyarakat.
Selain itu, perlu dilihat juga sejauh
mana kerajaan menyediakan peruntukan membabitkan hal
ehwal orang Islam seperti pembinaan masjid dan sekolah.
``Kalau ada maka perlulah wang zakat
dijimatkan memandangkan dana yang ada adalah terhad
dan ia harus ditumpukan kepada pembelaan golongan
tidak berkemampuan,'' katanya.
Dalam hal ini Ahli Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata,
penyaluran bantuan zakat oleh Baitulmal adalah bersandarkan
had kifayah dan mengutamakan golongan miskin termasuk
bagi asnaf fi sabilillah.
``Ini bertujuan zakat disalurkan
kepada golongan yang benar-benar layak sahaja,'' katanya.
Laporan zakat 2001 menunjukkan seluruh
program agihan di Wilayah Persekutuan iaitu Skim Bantuan
Kewangan Bulanan, Biasiswa, Bantuan Perniagaan, Bantuan
Sewa Beli Teksi, Membaiki Rumah atau pendahuluan membeli
rumah, Ibnu Sabil, Bantuan Segera, Al-Riqab, Bantuan
Am Pelajaran, Bantuan Agensi Kebajikan, Bantuan Ramadan,
Perubatan, Perkahwinan, Sewa Rumah, Menyelesaikan
Hutang, Musibah dan Insentif Amil adalah memberikan
keutamaan kepada golongan fakir dan miskin.
Malah Wilayah Persekutuan turut lebih
jauh dalam mentafsirkan al-Riqab dengan memasukkan
bantuan untuk membebaskan wanita Islam daripada menjadi
`hamba' pelacuran.
Bagi Pusat Agihan Zakat Selangor
(PZS) pula sememangnya sebelum ini tidak mempunyai
sebarang dasar khusus membabitkan latar belakang keluarga
pemohon bagi pengagihan asnaf fi sabilillah.
Syarat kelayakan menerima zakat ialah
setiap anak Selangor, menerima tawaran dari mana-mana
pusat pengajian di timur tengah dan tidak mendapat
sebarang bantuan kewangan.
Bagaimanapun menurut Ketua Unit Perhubungan
Awam PZS, Akhtar Sahari, pihaknya tetap membuat penelitian
berdasarkan kepada tanggungan dalam keluarga.
``Misalnya walaupun keluarga tersebut
tidak digolongkan dalam kategori fakir atau miskin,
tetapi layak menerima zakat kerana mempunyai tanggungan
ramai seperti ramai yang masih bersekolah atau belajar
di pusat-pusat pengajian tinggi,'' katanya.
Malah sebenarnya beliau berkata,
PZS tidak pernah membuka tawaran untuk mana-mana pelajar
mendapatkan zakat dan tidak pula menolak sebarang
permohonan untuk membiayai perbelanjaan pengajian
melalui asnaf fi sabilillah.
``Tetapi yang kaya tidaklah sepatutnya
memohon kerana yang menjadi keutamaan adalah golongan
fakir dan miskin,'' katanya.
Laporan tahunan PZS 2001 menunjukkan
agihan zakat fi sabilillah turut melibatkan golongan
bukan fakir seperti imbuhan untuk penolong pendaftar
nikah yang sudah sedia mendapat gaji bulanan dari
kerajaan.
Turut dimasukkan dalam asnaf fi sabilillah
ialah bantuan umum masjid/surau, elaun guru agama/penceramah,
kursus pegawai masjid, saguhati petugas amar maaruf,
elaun kakitangan MAIS, elaun tahunan kakitangan masjid
dan derma hafiz Quran.
Manakala bantuan khas pelajar luar
negara dimasukkan dalam asnaf Ibni sabil yang turut
merangkumi bantuan kepada musafir, bantuan memulakan
perjalanan dan pemulihan akhlak dan ia membabitkan
agihan tertinggi selepas asnaf fakir iaitu RM565,589.98.
Selain itu, PZS juga memasukkan program
derma siswa penuntut agama dalam dan luar negara,
derma siswa kecil pelajar, bantuan umum pelajaran
dan bantuan kepada pusat pengajian dalam asnaf riqab
(membebaskan hamba) yang kini ditafsirkan sebagai
membebaskan diri daripada belenggu kejahilan.