Satukan
kutipan zakat
Oleh Dato Mohamed Dahan Abdul Latiff
Malaysia merupakan negara Islam yang diiktiraf maju
dari segi pembangunan dan kemajuan beberapa institusi
Islam seperti haji, perbankan Islam, takaful, masjid
dan zakat.
Tidak boleh dinafikan juga Pusat Pungutan Zakat (PPZ)
telah mengembangkan paradigma dan pemantapan institusi
zakat di negara ini dengan mengubah konsep amil perseorangan
kepada konsep amil berpasukan.
Iaitu menggunakan satu kumpulan profesional di bawah
konsep syarikat atau korporat untuk memungut zakat
bagi Majlis Agama Islam, menggunakan struktur dan
sistem yang mengadun cara korporat dan teknologi informasi
dan komunikasi (ICT) moden, melaksana kaedah yang
proaktif, menumpu kepada jenis zakat harta selain
daripada zakat fitrah.
PPZ juga mengalih sumber zakat kepada mementingkan
mengutip zakat daripada golongan yang berada dalam
bentuk zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat
harta amnya, berbeza dengan penumpuan pada masa dahulu
kepada menumpu kepada mengutip zakat padi dan pertanian
daripada golongan yang biasanya dianggap miskin dalam
hierarki masyarakat moden.
Pembaharuan yang dibawa di Kuala Lumpur pada tahun
1991 telah menarik perhatian bukan sahaja negeri-negeri
di Malaysia tetapi negara-negara Islam lain yang mulai
sedar peranan pragmatik negara kita dalam membentuk
negara Islam yang moden.
Apabila pungutan zakat meningkat daripada lebih kurang
RM25 juta setahun pada tahun 1980-an kepada beratus-ratus
juta ringgit setahun (tahun 2001-RM320 juta yang mana
RM50 juta adalah zakat fitrah dan RM270 juta adalah
zakat harta) dari seluruh negara, barulah masyarakat
Islam sedar akan potensi institusi zakat menjadi satu
institusi sosioekonomi yang boleh menolong golongan
yang memerlukan bantuan, walaupun ada had-hadnya.
Tentu sekali kebolehan sesebuah negeri atau Majlis
Agama Islam membuat kerja agihan amat bergantung kepada
saiz pungutan. Negeri yang memungut RM70 juta setahun
mempunyai lebih skop dan kemampuannya dibanding dengan
negeri yang mengutip hanya RM5 juta.
Pada masa ini, pungutan sesebuah negeri kebanyakannya
dibelanjakan dalam negeri tersebut, iaitu belum ada
satu sistem agihan nasional kerana ketiadaan badan
nasional untuk zakat, berbeza dari institusi haji.
Juga sesebuah Majlis Agama Islam berpegang kepada
konsep bahawa sesebuah negeri adalah tanggungjawab
Majlis Agama Islam negeri yang berkenaan sahaja dan
Majlis Agama Islam lain tidak boleh campur tangan.
Bagaimanapun, kerjasama diharuskan dan perundingan
selalu dilakukan melalui mesyuarat dan jawatankuasa
di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Isu pelaburan juga menjadi perhatian apabila pungutan
zakat meningkat. Tentu sekali ada tempoh masa di antara
kebolehan membelanjakan atau mengagihkan wang zakat
dengan pungutan. Contohnya, pungutan yang paling tinggi
adalah dalam bulan Disember setiap tahun dan tentu
sekali mustahil untuk membelanjakan dalam tahun yang
sama.
Ini bermakna konsep membelanjakan wang zakat dalam
tahun yang sama ia dipungut mesti ada fleksibiliti.
Tambahan pula, sudah menjadi kebiasaan bagi negeri-negeri
yang tinggi kutipan zakatnya, merezab dan mengumpul
dalam lingkungan 20 peratus kutipan tahunan beberapa
tahun untuk membiayai projek jangka panjang yang menelan
belanja besar seperti membina pusat latihan kemahiran,
pusat pendidikan, pusat dialisis, hospital Islam dan
pusat perlindungan bagi faedah asnaf-asnaf dan masyarakat
yang memerlukan bantuan. Pelaburan biasanya dalam
bentuk pasif dan konservatif untuk keselamatan, seperti
meletak dalam akaun pelaburan di bank-bank.
Tidak dinafikan institusi zakat masih boleh diperbaiki
dalam semua kategori. Inilah cabaran yang dihadapi.
Institusi zakat tidak boleh bergerak dalam kepompong
bersendirian. Sebaliknya ia mesti ada rangkaian dengan
berbagai institusi lain. Institusi akademik dan media
sebenarnya boleh memberi input yang berguna kepada
institusi zakat berasaskan kajian-kajian berkenaan
kehendak dan masalah semasa masyarakat yang tidak
dapat dimasukkan dalam sistem atau program kerajaan.
Faktor tiadanya rebat untuk pembayaran zakat oleh
bukan perseorangan, iaitu syarikat, koperasi dan organisasi,
selalu ditimbulkan. Ini bukan perkara syarak tetapi
adalah isu setempat sesebuah negara Islam. Ia tidak
perlu dijadikan isu. Cabaran kepada pentadbir zakat
ialah bagaimana menarik syarikat dan peniaga membayar
zakat perniagaan walaupun dalam keadaan tiada rebat
daripada cukai. Hanya Malaysia yang memberi rebat
daripada cukai selama ini di kalangan 56 negara Islam.
Indonesia baru sahaja mengikut contoh Malaysia pada
tahun 2001.
Kewajaran tidak menjadikan perkara tiadanya rebat
daripada cukai untuk bayaran zakat perniagaan oleh
bukan individu sebagai isu kerana pembayaran cukai
adalah juga untuk menolong golongan susah atau golongan
yang memerlukan bantuan. Malahan, wang cukai yang
digunakan untuk jalan raya, tenaga elektrik, air,
kemudahan awam, klinik dan hospital, sekolah dan universiti,
infrastruktur bagi menarik pelaburan dan sebagainya,
semuanya adalah ke arah mengurang golongan fakir dan
miskin.
Ini bererti berkuranglah beban institusi zakat membelanja
wang kepada golongan fakir dan miskin. Sekarang pun
diperhatikan bahawa asnaf fisabilillah merupakan asnaf
yang paling tinggi mendapat perhatian oleh institusi
zakat kerana banyak beban menolong golongan fakir
dan miskin sudah ditanggung oleh pihak kerajaan dengan
wang cukai, selain daripada pihak syarikat-syarikat
yang memberi pekerjaan.
Pendeknya, apabila golongan kelas menengah meningkat
tinggi atau menjadi golongan yang terbesar dalam sesebuah
masyarakat, ini menolong meningkatkan pungutan zakat
dan mengurangkan beban kepada institusi zakat menolong
asnaf fakir dan miskin yang mungkin suatu hari amat
sedikit sekali, membolehkan wang zakat digunakan untuk
lain-lain asnaf, seperti fisabilillah.
Lagi satu perkara ialah mengurangkan perbahasan dan
polemik perkara terperinci berkenaan zakat. Biarlah
ditumpu kepada peranan besar mengapa Allah s.w.t.
mengadakan zakat sebagai satu rukun Islam selain daripada
sembahyang, puasa dan haji.
Sedikit sebanyak tujuan asal Allah s.w.t. mengadakan
kefardhuan berzakat ialah membetulkan sikap manusia
iaitu lebih kepada minda dan perasaan, dan bukan kepada
pengagihan kekayaan. Kadar 2.5 peratus bertujuan mengagih
kekayaan kerana kadar tersebut terlalu rendah dibanding
dengan kadar cukai.
Ia lebih kepada mendidik sikap dan minda golongan
berada terhadap rezeki dan kekayaan yang mereka terima
daripada Allah s.w.t., iaitu bersyukur dan sanggup
berkongsi, selain mendidik golongan susah untuk tidak
iri hati terhadap golongan kaya dengan adanya hak
mereka dalam harta golongan kaya.
Konsep masyarakat prihatin dan konsep tanggungjawab
sosial syarikat adalah sehaluan dengan syariat dan
semangat berzakat. Ini menunjukkan kesan utama yang
diharapkan daripada zakat ke atas manusia ialah perubahan
sikap dan minda berhubung dengan tanggungjawab sesama
manusia yang timbul dari rezeki dan kekayaan yang
diberi oleh Allah s.w.t.
Sebab itu, pendekatan berdakwah kepada masyarakat
dan bukan pendekatan penguatkuasaan perundangan atau
menghukum telah dapat meningkatkan pungutan zakat
di zaman moden ini. Memang diakui Khalifah Abu Bakar
As-Siddiq terpaksa mengugut untuk berperang ke atas
sesiapa yang tidak membayar zakat, tetapi itu ialah
zaman syiar Islam belum mantap di kalangan masyarakat
Arab.
Bolehkah satu badan nasional untuk zakat diwujudkan
di negara ini? Ini satu isu yang sudah banyak diperbahaskan.
Dari segi kewajaran dan faedah, memang logik sekali
untuk diwujudkan sebuah badan nasional seperti Lembaga
Urusan Zakat Malaysia (Luzam) berasaskan konsep Lembaga
Tabung Haji dengan peranan nasionalnya.
Tetapi, realiti Perlembagaan Malaysia meletakkan
agama sebagai urusan negeri-negeri dan bukan urusan
Persekutuan. Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan
ada menyebutkan bahawa agama rasmi Persekutuan adalah
Islam. Bolehkah klausa ini dijadikan asas untuk Kerajaan
Pusat mewujudkan Luzam sebagai satu organisasi nasional
yang menolong organisasi di negeri-negeri dengan tidak
menimbulkan perbahasan yang memecah belah masyarakat?