Putrajaya – Langkah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) buat julung-julung kalinya menggandingkan dua pelawak yang tidak asing lagi di Malaysia, Man Raja Lawak dan Rahim Sepahtu di dalam program Street Dakwah anjuran PPZ-MAIWP bersempena Karnival Komuniti Cemerlang dilihat berjaya ‘menggegarkan’ Presint 8E, Putrajaya.
Celoteh santai dua orang pelawak ini tidak menghampakan apabila pembukaan bicara mereka sahaja membuatkan tetamu yang hadir tidak kering gusi dengan pengisian-pengisian padat dengan isi berguna. Sebelum itu, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali telah memberi ucapan perasmian dengan menekankan akan kewajipan mengeluarkan zakat.
“Jangan berat untuk menunaikan zakat. Hanya 2.5% sahaja dari pendapatan. Sebagai contoh, kita ada RM10,000, zakat hanya RM250 sahaja,” kata beliau di dalam ucapanya.
Selain itu, program turut diisi dengan tiga slot ilmu. Slot pertama diisi oleh Ustaz Zakaria Othman dan Imam Muda Asyraf yang membicarakan berkaitan bulan Ramadhan. Slot kedua pula diisi oleh Man Raja Lawak dan Rahim Sepahtu bersama Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman. Di dalam slot ini, persoalan berkaitan zakat ditekankan namun ianya adalah secara santai dan diselang-seli dengan kuiz. Slot terakhir pula diisi oleh Ustaz Zulkarnain Hamzah yang mengalunkan Zikir diiringi petikan gitar oleh saudara Sham Kamekaze.
Turut hadir menyerikan majlis adalah, Pengerusi Persatuan Penduduk P8E2, Presint 8, Puan Zarina Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Jaringan Kasih Putrajaya, En Safian Salleh dan Penasihat Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan, Ustaz Mohd Gunawan.