Kuala Lumpur – Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zukefli Mohamad Al-Bakri berkata, penunggang motosikal berkuasa besar berpotensi menjadi ejen dakwah yang berkesan.
“Penunggang motosikal berkuasa tinggi atau dikenali sebagai ‘bikers’ ini pada pandangan saya berpotensi menjadi pendakwah yang berkesan. Ini kerana dengan hanya memiliki motorsikal berkuasa tinggi dan di dalam kumpulan yang besar ianya mampu menarik orang untuk mendekati mereka,” kata beliau di Program Mufti Bersama BIKERS yang diadakan di D’saji, KL Titiwangsa anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Tambah beliau, apabila masyarakat berkumpul mendekati mereka terutamanya golongan anak muda, masa itulah peluang yang terbaik buat mereka untuk menyampaikan dakwah dan berkongsin ilmu.
Program telah dihadiri kira-kira 100 orang ‘bikers’ dan 100 orang dari sahabat zakat PPZ-MAIWP. Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, ini adalah salah satu keistimewaan apabila menjadi sahabat zakat PPZ-MAIWP.
“Kepada mereka yang mendaftar sebagai sahabat zakat PPZ-MAIWP, ini adalah di antara keistimewaan yang mereka akan dapat dimana mereka akan dijemput untuk bersama-sama kami di dalam progra-program yang eksklusif seperti ini,” kata beliau.
Turut hadir, Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, En Mohammed Hassan.