Setiawangsa – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah turun seawal jam 7.00 pagi bagi menyebarkan dakwah zakat kepada para peniaga dan pengunjung Pasar Tani Setiawangsa di dalam program Mesra @ Pasar Tani.
Program diisi dengan dua slot ceramah santai bersama selebriti dan pendakwah bebas, Man Raja Lawak, Ustaz Akhil Hayy dan Ustaz Mohd Ibrahim atau dikenali sebagai Ustaz Mad Cina yang mengupas pelbagai isu berkaitan zakat dan kehidupan. Persoalan berkaitan zakat juga turut di jawab di dalam slot bersama Ustaz Dzyaulhak dan Amiro Faizal juga merupakan pegawai PPZ-MAIWP.
Selain ceramah santai, program juga menyediakan cenderahati kepada pengunjung yang mengisi borang untuk menjadi Sahabat Zakat. Kepada peniaga, cenderahati eksklusif menanti lima pembayar pertama yang menunaikan Zakat Perniagaan mereka.
Seiring dengan moto ‘Memudahkan Anda Berzakat’, PPZ-MAIWP juga membuka kaunter bagi memberi kemudahan kepada pengunjung dan peniaga yang ingin menunaikan zakat harta mereka secara potongan gaji atau secara terus melalui Kaunter Zakat Van bergerak dan booth yang disediakan.
Turut hadir menyerikan program, Pengurus Besar Kewangan PPZ-MAIWP Azhan Ismail yang setia berada di lokasi dari mula hingga tamat program.