Tanggal 26 Disember 2004 akan dikenang
dengan penuh rasa hiba dan sedih seluruh penduduk
dunia. Ini ekoran peristiwa Tsunami yang melanda
Asia Selatan serta Asia Tenggara mengakibatkan
ratusan ribu nyawa terkorban. Antara lokasi
paling teruk terjejas selepas kejadian gempa
dan ambak Tsunami ini adalah di Aceh, Republik
Indonesia. Kejadian yang dikatakan berlaku pada
kira-kira jam 8 pagi itu telah dimulai dengan
gegaran bumi sekuat 9.3 menurut Skala Ritcher
diikuti dengan “serangan” gelombang
besar Tsunami yang mengorbankan lebih 230,000
nyawa dalam sekelip mata dan hampir 500,000
yang lain kehilangan harta dan tempat tinggal.
Fenomena alam ini turut mengakibatkan
puluhan ribu anak-anak kehilangan tempat bergantung.
Anak-anak yatim ini bukan sahaja tidak beribu
bapa malah sebahagian besar tinggal sebatang
kara tanpa saudara mara.
Menyedari dan menginsafi bencana yang
melanda di Aceh, maka PPZ dengan kerjasama ABIM
Islamic Outreach telah mengambil inisiatif dengan
satu hasrat dan tujuan untuk meringankan beban
penderitaan saudara se Islam di sana. Sebuah
projek yang dinamakan Projek Rumah Anak Yatim
Aceh PPZ MAIWP – ABIM telah dilancarkan
pada 28 Januari 2005. Di dalam projek ini, PPZ
bertindak sebagai pengumpul dana daripada masyarakat
Islam di Malaysia yang berminat dan penjamin
kewangan untuk membiayai sara hidup anak-anak
yatim di Aceh tanpa perlu mereka menetap di
Malaysia. ABIM pula bertindak sebagai pihak
yang menguruskan rumah anak yatim tersebut.
Tempoh bantuan adalah 3 tahun.
Di peringkat awal, projek ini berjaya
mengumpulkan lebih 100 orang anak yatim lelaki
dan perempuan di dua lokasi berasingan iaitu
di Lamlhom dan di Sigli. Unjuran perbelanjaan
yang digunapakai adalah berdasarkan RM1,200.00
untuk seorang anak bagi tujuan perbelanjaan
pendidikan, makan minum dan perubatan selama
setahun. PPZ bertanggungjawab menambah jumlah
pembiayaan sekiranya didapati tidak mencukupi.
Kerjasama PPZ dengan pihak Baitulmal
Nanggroe Aceh Darussalam NAD menyusul selepas
hampir 2 bulan projek dengan kerjasama ABIM
berjalan. Walau bagaimanapun untuk projek bersama
Baitulmal NAD ini, anak-anak yatim terlibat
masih menetap bersama waris terdekat dan tidak
memerlukan tempat perlindungan. Bilangan anak
yatim di bawah kelolaan Baitulmal NAD adalah
seramai 150 orang. Perbezaan di antara kedua
projek kerjasama ini hanyalah dari aspek tempat
tinggal manakala yang lain tidak banyak bezanya
termasuk laporan kewangan yang mesti diserahkan
kepada PPZ dengan kekerapan sebulan sekali.
Laporan keadaan kehidupan anak-anak yatim ini
juga harus dilaporkan untuk tujuan rekod.
Sebagai memperingati peristiwa Tsunami
di Aceh, PPZ menganjurkan program Lawatan ke
Rumah-rumah Anak Yatim Tsunami PPZ & Baitulmal
NAD setiap tahun. Selain itu, penaja-penaja
juga telah dibawa ke lokasi-lokasi kesan Tsunami
sebagai salah satu pengisian program.
Melihat proses rehabilitasi dan rekonstruksi
di Aceh, PPZ optimis banyak lagi ruang bantuan
yang boleh dihulurkan biarpun sudah lebih dua
tahun sejak Tsunami melanda. Kami juga menerima
maklumat masih banyak anak-anak yatim Tsunami
di Aceh yang belum terbela. Justeru, sumbangan
berterusan dari penaja-penaja masih diperlukan.
Meskipun projek ini mungkin hanya berlangsung
selama 3 tahun, kami mengharapkan bantuan berterusan
dapat diberikan kepada anak-anak yatim yang
ditaja tanpa melalui PPZ. Segala usaha mendapatkan
alamat perhubungan setiap anak-anak yatim ini
akan dilaksanakan demi kelangsungan hidup mereka.
Selamatkan Aceh.. Jangan biarkan ia
menangis lagi…